Pergelangan Tangan 2 Polis Parah Ditetak Penagih Dadah

27 Sep 2022 • 4:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan lengan seorang anggota polis yang cedera parah ditetak oleh seorang penagih dadah di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, semalam. - Gambar ihsan polis

KUALA LUMPUR - Dua pegawai polis parah akibat ditetak seorang penagih dadah dalam kejadian di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam semalam.

Kejadian pada jam 3.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Inspektor Mohd Zulhusni Hasani dan Lans Koperal Mohammad Ridzuan Marsudi bersama lima anggota polis, membuat susulan kes membabitkan suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Navara.

image is not available
Kecederaan yang dialami oleh salah seorang daripada dua anggota polis yang ditetak di Sungai Kandis, Shah Alam, semalam.

Suspek didapati mengamuk dengan melanggar kenderaan jenis Honda Accord milik abangnya yang juga pesara guru berusia  53 tahun.

Malah, suspek dipercayai menghempas pasu bunga pada kenderaan tersebut dan mengejar abangnya dengan sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pasukan polis pada awalnya ke rumah suspek di Kampung Sungai Kandis dan mendapati suspek yang berusia 47 tahun enggan memberi kerjasama dengan mengunci pintu rumah.

image is not available
Mohd Iqbal Ibrahim

“Mohd Zulhusni bersama pasukan polis berjaya masuk ke dalam rumah dan lelaki tersebut bertindak melibas parang ke arah Mohammad Ridzuan.

“Satu das tembakan dilepaskan Mohammad Ridzuan untuk mempertahankan diri, namun suspek terus menyerang dan menyebabkan anggota polis terbabit parah di pergelangan tangan kiri, sehingga tiga jari tidak dapat digerakkan.

“Mohd Zulhusni juga mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan ketika bergelut bersama beberapa anggota polis untuk menangkap suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek yang merupakan seorang pengganggur didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan tetrahydro cannabinol hydrocarboxy Lic Acid (THC) serta mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Suspek dibenarkan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 September. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan.

“Keadaan kedua-dua mangsa difahamkan stabil,” katanya. - Getaran, 27 September 2022