‘Pergi berdua, pulang seorang’: Wartawan kongsi kisah paling menyentuh ketika liputan haji

Local
4 Jun 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

‘Pergi berdua, pulang seorang’: Wartawan kongsi kisah paling menyentuh ketika liputan haji

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Kisah jemaah yang berangkat ke Tanah Suci bersama pasangan tetapi pulang bersendirian menjadi antara pengalaman paling menyentuh dan sukar dilupakan oleh wartawan yang membuat liputan haji.

Penulis buku Kembara Melangit-Mu, Azlinariah Abdullah berkata sepanjang bertugas membuat liputan musim haji, beliau sering berdepan pelbagai kisah kehilangan dan kematian jemaah, namun ketabahan yang ditunjukkan waris serta pasangan yang ditinggalkan memberi perspektif baharu tentang erti reda dan pengorbanan.

Menurutnya, sebagai wartawan beliau kurang gemar membuat liputan berkaitan kematian kerana mudah tersentuh apabila perlu menemu bual ahli keluarga yang baru kehilangan insan tersayang.

“Saya sebenarnya tidak begitu gemar membuat liputan mengenai kematian. Setiap kali perlu bertanya kepada keluarga tentang arwah, hati saya mudah tersentuh.

“Saya tidak tahu bagaimana wartawan lain menghadapinya, tetapi bagi saya setiap kisah kehilangan itu membawa kesedihan dan kehibaan yang sangat mendalam,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Image from: ‘Pergi berdua, pulang seorang’: Wartawan kongsi kisah paling menyentuh ketika liputan haji
Penulis buku Kembara Melangit-mu, Azlinariah Abdullah, bergambar ketika Program yang berlangsung.di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kuala Lumpur pada 3 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.pada 3 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Bagaimanapun, pengalaman membuat liputan haji pada 2024 membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila menyaksikan sendiri bagaimana ramai waris menerima pemergian pasangan mereka dengan penuh keredaan.

Katanya, apa yang lebih mengesankan bukanlah kematian itu sendiri, sebaliknya ketenangan yang ditunjukkan oleh mereka yang ditinggalkan.

“Mereka pergi berdua, tetapi pulang seorang diri. Namun mereka sangat reda dan bersyukur kerana pasangan mereka meninggal dunia di tempat yang paling mulia dan paling diimpikan oleh umat Islam.

“Saya melihat sendiri bagaimana mereka bercerita mengenai kehilangan pasangan tanpa setitis air mata kerana percaya itu adalah pengakhiran yang terbaik,” katanya.

Antara kisah yang paling melekat dalam ingatannya ialah seorang wanita yang menyaksikan sendiri suaminya menghembuskan nafas terakhir selepas mereka selesai menunaikan tawaf bersama.

Image from: ‘Pergi berdua, pulang seorang’: Wartawan kongsi kisah paling menyentuh ketika liputan haji
Penulis buku Kembara Melangit-mu, Azlinariah Abdullah, bercakap kepada media ketika Program yang berlangsung.di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kuala Lumpur pada 3 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.pada 3 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurut Azlinariah, ketika sedang menikmati air zam-zam, lelaki itu tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia, meninggalkan isterinya yang baru sahaja menyempurnakan ibadah bersama-sama.

Selain itu, beliau turut berkongsi kisah seorang jemaah lelaki yang kehilangan isterinya selepas wanita berkenaan koma selama beberapa hari di hospital.

Katanya, sebelum menerima berita duka itu, lelaki terbabit sempat menunaikan tawaf sunat sambil tidak putus-putus berdoa agar Allah SWT memberikan pengakhiran terbaik buat isterinya.

“Sebaik sahaja selesai tujuh pusingan tawaf dan menadah tangan berdoa, beliau menerima panggilan telefon.

“Di hujung talian, beliau dimaklumkan bahawa isterinya telah kembali ke rahmatullah.

“Namun beliau bersyukur kerana percaya itulah pengakhiran terbaik yang dikurniakan Allah SWT kepada isterinya seperti yang dipohon dalam doanya,” katanya.

Selain kisah kehilangan, Azlinariah turut menyaksikan pelbagai pengalaman luar biasa yang menguatkan keyakinannya terhadap kebesaran Allah SWT.

Image from: ‘Pergi berdua, pulang seorang’: Wartawan kongsi kisah paling menyentuh ketika liputan haji
Jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di Arafah bagi melaksanakan rukun haji kedua, iaitu wukuf di Arafah yang bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah, iaitu apabila masuk waktu Zohor, hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Foto BERNAMA

Beliau menceritakan kisah seorang jemaah orang kurang upaya (OKU) yang meluahkan hasrat kepada isterinya untuk menaiki kenderaan GMC dari Madinah ke Makkah walaupun mengetahui kosnya jauh lebih tinggi berbanding perjalanan menggunakan bas yang disediakan.

Hasrat itu hanya dikongsikan kepada isterinya dan tidak diketahui sesiapa.

“Ramai yang tidak bersetuju kerana kos GMC agak mahal sedangkan perjalanan menggunakan bas telah disediakan.

“Namun keesokan harinya mereka menerima panggilan memaklumkan ada pihak yang mahu menaja perjalanan tersebut,” katanya.

Menurutnya, identiti penaja itu tidak pernah diketahui sehingga hari ini, namun beliau percaya tiada yang lebih mengetahui hasrat jemaah berkenaan selain Allah SWT yang Maha Mendengar.

Selepas 56 hari menyaksikan pelbagai kisah kehilangan, kerinduan, pengorbanan dan keajaiban di Tanah Suci, Azlinariah merasakan pengalaman tersebut terlalu berharga untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Atas sebab itu, beliau mengambil keputusan membukukan pelbagai kisah eksklusif yang tidak pernah dikongsikan secara meluas kepada masyarakat.

“Saya merasakan tugasan membuat liputan haji adalah antara tugasan paling besar, paling agung dan paling bermakna sepanjang kerjaya saya sebagai wartawan.

“Buku ini menghimpunkan banyak kisah motivasi, inspirasi dan keajaiban yang mengajar kita tentang kepentingan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT, sama ada dalam urusan haji mahupun kehidupan seharian,” katanya.

Buku Kembara Melangit-Mu turut menghimpunkan pengalaman dan perkongsian daripada Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Mohd Turmadzi Madun, Linda Salim, Rozaman Ismail serta Ainol Amriz Ismail yang pernah terlibat dalam liputan haji pada tahun-tahun berbeza.

View Original Article