
PENGAKHIRAN yang baik adalah impian setiap daripada kita. Kisah pemergian pelajar sekolah di Daro, Bahagian Mukah ini begitu menjentik hati warga maya.
Warganet menyifatkan pengakhiran pelajar Tingkatan Empat SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hjh Normah , Fahrin Jumarudy bin Abdullah sebagai ‘kematian yang dicemburui’.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh pihak sekolah menerusi laman Facebook rasmi mereka. Menerusi hantaran di laman sosial, warga menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan pelajarnya.
Suasana sayu menyelubungi tatkala majlis tahlil dan bacaan Yassin diadakan bagi mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
"Pergimu terlalu awal, namun kenangan bersamamu akan sentiasa terpahat dalam ingatan kami.
"Dengan penuh rasa dukacita, kami merakamkan ucapan takziah atas pemergian pelajar kami yang dikasihi.
"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Fahrin Jumarudy bin Abdullah, mengampunkan segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
"Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah," titipnya.

Ruangan komen hantaran laman sosial dibanjiri ucapan takziah selain doa buat Allahyarham dan keluarga.
Warganet meluahkan simpati dan mengucapkan takziah atas pemergian remaja itu yang disifatkan dicemburui. Ujar mereka;
"Perginya dalam keadaan ingin menunaikan perintah ALLAH, kematian yang dicemburui. Takziah kepada arwah semoga segala amal ketika hidup diangkat dan dipermudahkan segala urusan."
"Al-Fatihah buat arwah. Salam takziah buat sis Khairul sekeluarga. Semoga dipermudahkan urusan."

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkongsi kronologi kejadian seperti berikut:
1-Pihak polis menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira 8 malam.
2-Difahamkan, ketika tragedi itu berlaku, tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.
3-Seorang pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.
4-Mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
5-Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
6-Seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata pihak Sarawak Energy telah dimaklumkan untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut manakala kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti tahap pematuhan aspek keselamatan sekolah berkenaan.
JPN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu turut disiasat pihak berkuasa dan kawasan kejadian telah ditutup kepada murid, guru dan warga sekolah sehingga disahkan selamat.
Pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy dan menyalurkan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar itu.
“Pada masa yang sama, kebajikan seorang lagi murid yang sedang menerima rawatan turut diberi perhatian dan diharapkan agar beliau segera sembuh,” menurut kenyataan itu.
