Perhebat belanja RM200,000 bekal kemudahan pelajaran dua sekolah anak tentera

LocalFamily & Parenting
10 Dec 2025 • 7:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amir (tiga dari kiri) bersalaman dengan Wan Mohd Abd Malik (dua dari kanan) selepas menyerahkan kaunter pusat sumber.
image is not available
Amir (dua dari kiri) ketika ditemu bual wartawan cilik dari SK Desa Pahlawan.

KOTA BHARU - Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) membelanjakan RM200,000 bagi membekal kemudahan pembelajaran di dua Sekolah Angkat Madani melibatkan anak anggota tentera di Miri, Sarawak dan negeri ini.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Riam Batu 2 Miri dan SK Desa Pahlawan di sini.

Ketua Pengarah Perhebat, Datuk Amir Md Noor berkata, peruntukan itu melibatkan RM100,000 bagi setiap sekolah merangkumi penyediaan peralatan digital, kelengkapan bilik darjah serta pembinaan perabot khusus mengikut keperluan sekolah.

“Antara kemudahan yang diterima SK Desa Pahlawan termasuk enam unit televisyen pintar 50 inci, tujuh unit penyaman udara, perabot pusat sumber serta beberapa kemudahan sokongan pengajaran.

“Pembekalan dibuat berdasarkan permintaan sekolah dan penilaian teknikal yang dipersetujui bersama Angkatan Tentera Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kelengkapan itu di sini pada Rabu.

**media[3367802]**

Hadir sama Guru Besar SK Desa Pahlawan, Wan Mohd Abd Malik Wan Omar.

Amir berkata, pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada murid tetapi turut menjadi latihan industri sebenar kepada pelatih Perhebat yang terlibat dalam kerja pembinaan, pemasangan dan reka bentuk.

Inisiatif itu juga menyokong agenda pendidikan digital negara dan selari dengan Pelan Transformasi Perhebat 2026-2035 yang menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan komuniti dan kolaborasi strategik.

“Perhebat bukan sekadar melatih bakal pesara tentera tetapi turut memainkan peranan dalam menyokong ekosistem pendidikan anak-anak warga tentera,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya bersedia memperluas program ke banyak sekolah yang masih memerlukan keperluan kelengkapan terutama di Sabah dan Sarawak bergantung kepada sekolah yang dikenal pasti Kementerian Pendidikan Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambahnya, komitmen Perhebat dalam program tersebut adalah bukti sokongan agensi itu terhadap aspirasi Madani untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

“Bantuan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi memberi manfaat kepada lebih 1,000 murid untuk persekitaran pembelajaran lebih selesa dan persediaan berdepan dunia digital,” katanya.