Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, usaha strategik Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam meningkatkan kemahiran dan meluaskan peluang kumpulan sasar.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) melancarkan Pelan Transformasi 2026–2035 sebagai Pemacu Kelestarian Ekonomi Perwira Negara selaras tanggungjawabnya untuk menjamin kelangsungan kesejahteraan hidup bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pelan Transformasi ini merupakan usaha strategik Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam meningkatkan kemahiran, meluaskan peluang pekerjaan serta menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi untuk manfaat kumpulan sasar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif dipacu sektor swasta itu berupaya meluaskan akses dan pilihan kepada veteran untuk menceburi industri memberi nilai pendapatan tinggi seiring dengan pengalaman dan kepakaran mereka.
Katanya, veteran perlu keluar dari takuk lama dan bangkit menjadi pencipta-pencipta nilai baharu dalam pembangunan ekonomi negara.
“Sehingga September, PERHEBAT menjalin kerjasama dengan 44 syarikat dalam sektor seperti MRO, pembuatan, pengangkutan, teknologi hijau dan agromakanan.

Kementerian komited dalam memastikan keterjaminan peluang pekerjaan buat veteran ATM. - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Pelan ini turut menekankan pembangunan sistem padanan kemahiran, lokasi dan peluang pekerjaan yang lebih berkesan, hasil kerjasama antara PERHEBAT dan agensi kerajaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi PERHEBAT yang diadakan pada 15 Oktober lalu di Petaling Jaya.
Dalam majlis sama, beliau turut menyaksikan simbolik penyerahan dokumen kerjasama diantara PERHEBAT dan 44 agensi serta syarikat swasta termasuk penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada veteran.
Tambah beliau, pelan berkenaan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri anggota ATM bahawa masa hadapan mereka terus terjamin biarpun selepas bersara.

Majlis Pelancaran Pelan Transformasi PERHEBAT menandakan komitmen baharu dalam memperkasakan pembangunan kerjaya dan keusahawanan veteran ATM.
“Pelan ini turut membuka peluang kepada veteran memperoleh dua sumber pendapatan, pencen dan kerjaya kedua.

Tranformasi ini bukti usaha berterusan dalam memperkasa kebolehpasaran dan daya saing golongan sasaran dalam sektor awam dan swasta.-Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor.
Sementara itu, Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor, berkata pelan itu menjadi langkah progresif dan strategik PERHEBAT dalam menyediakan peluang pekerjaan berkualiti bagi industri Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV).
Peluang pekerjaan membabitkan industri peralihan tenaga, sektor teknologi dan digital, elektrik dan elektronik, serta pertanian moden.
Inisiatif ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Penyertaan aktif PERHEBAT dalam pasaran kerja menjadikan institusi ini lebih dinamik dan berkesan, malah membuka banyak peluang padanan kemahiran serta pekerjaan berkualiti kepada anggota sedang melalui fasa peralihan,” tambahnya.
Menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035, organisasi berkenaan kekal komited untuk mencapai misinya dalam menjana manfaat sosio ekonomi mampan serta membina masa depan lebih baik untuk veteran tentera.


