Perhilitan belanja RM1.19 juta bagi Program Basmi Musuh Tanaman di Melaka

2 Aug 2023 • 2:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Melaka membelanjakan sebanyak RM1.19 juta bagi Program Basmi Musuh Tanaman peringkat negeri pada tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata kos berkenaan membabitkan perolehan 316 perangkap hidupan liar pelbagai jenis, antaranya membabitkan pembelian 100 unit perangkap corong kera, 100 unit perangkap kera kecil, 70 unit perangkap babi hutan dan 36 unit perangkap pindah kera.

“Kesemua perangkap ini akan ditempatkan di kawasan-kawasan konflik yang tinggi secara berperingkat mulai Julai 2023,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Rais menjawab soalan tambahan dikemukakan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) tentang inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan isu hidupan liar seperti monyet yang sering mengganggu keselamatan dan merosakkan harta benda penduduk.

Mengulas lanjut, Rais berkata Perhilitan kini dalam usaha mengedarkan 100 unit perangkap kera jenis corong kepada penduduk yang terlibat dengan gangguan haiwan berkenaan.

“Dengan adanya pertambahan perangkap ini, Perhilitan dapat meningkatkan penggunaan perangkap hidupan liar di kawasan aduan kacau ganggu dan mengurangkan tempoh penggiliran penggunaan perangkap hidupan liar kepada pengadu.

“Ia juga dapat mengurangkan dan mengawal populasi hidupan liar di kawasan konflik ke tahap minimum,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata sebanyak 1,972 aduan diterima membabitkan kacau ganggu hidupan liar pada 2022 dengan ancaman spesies kera merupakan aduan tertinggi membabitkan 1,702 aduan, babi hutan (166 aduan), lotong (54 aduan), dan musang (24 aduan).

Katanya, sepanjang tempoh ini juga sebanyak 3,996 ekor kera dan 1,096 ekor babi hutan telah dilupuskan.

Terdahulu, Rais menjawab soalan dikemukakan Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) yang ingin tahu pendirian kerajaan negeri dalam pengurusan haiwan liar.

Menjawab soalan berkenaan, Rais berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa terbuka dan menggalakkan mana-manan persatuan pencinta haiwan atau badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kebajikan haiwan terpelihara mengikut garis panduan dan pekeliling serta arahan kerajaan yang masih berkuat kuasa. - Bernama