Perhilitan Johor tangkap gajah dewasa di Kluang

11 May 2023 • 6:12 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor pada Selasa lepas, menangkap seekor gajah dewasa dipercayai daripada kumpulan gajah yang memasuki kawasan perumahan di daerah Kluang.

Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata gajah jantan itu ditangkap di satu kawasan di daerah berkenaan setelah mendapat aduan awam berhubung kehadiran mamalia tersebut.

Beliau berkata gajah itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang baru-baru ini memasuki kawasan Taman Sri Lambak, Kluang, sehingga meresahkan penduduk di taman perumahan tersebut.

“Kita telah berjaya menangkap gajah berkenaan dan telah dilepaskan di dalam hutan berdekatan tetapi jauh daripada kawasan berpopulasi manusia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang R. Vidyananthan berterima kasih kepada pihak Perhilitan kerana berjaya menangkap gajah sesat yang didakwa ditangkap berdekatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang.

“Perhilitan menggunakan dua ekor gajah denak untuk membantu menangkap gajah tersebut. Ini adalah berita baik kepada penduduk di kawasan ini,” katanya menerusi satu hantaran video di aplikasi TikTok, semalam.

Baru-baru ini, video beberapa ekor gajah ‘sesat’ di Taman Sri Lambak, Kluang, menjadi tular kerana memasuki kawasan perumahan serta melanggar pagar rumah seorang penduduk.

Ia merupakan kejadian berulang melibatkan gajah memasuki kawasan perumahan berkenaan. -Bernama