Perhilitan Pahang tahan tiga lelaki warga Kemboja

27 Jun 2024 • 10:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tiga lelaki warga Kemboja ditahan dalam operasi membanteras pemburuan hidupan liar di Hutan Simpan Berkelah, Kuantan pada Selasa. Foto ihsan Perhilitan

image is not available
Sebahagian peralatan dan jerat ditemui di khemah warga asing tersebut. Foto ihsan Perhilitan

KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menahan tiga lelaki warga asing di Hutan Simpan Berkelah di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, tiga lelaki warga Kemboja berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi membanteras pemburuan hidupan liar oleh Pasukan Taktikal Khas (SPARTA) jabatan tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas khemah warga asing tersebut menemui beberapa utas jerat dan bahagian hidupan liar serta peralatan kerja dipercayai digunakan untuk mengambil hasil hutan.

"Ketiga-tiga lelaki tersebut direman selama tujuh hari sejak Rabu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, kerajaan komited untuk melindungi dan memelihara khazanah negara daripada sebarang ancaman jenayah.

"Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar kepada Pejabat Perhilitan terdekat atau melalui talian hotline, 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," tambahnya.