Perhilitan sita 52 hidupan liar di KLIA

25 Dec 2024 • 11:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hidupan liar ini ditemui tanpa dokumen sah dalam tujuh kotak sangkar kayu di Pos Aviation Kargo, Zon Perdagangan Bebas, KLIA.

image is not available
Sebanyak 52 ekor haiwan dilindungi disita dalam operasi di Pos Aviation Kargo, Zon Perdagangan Bebas, KLIA.

KUALA LUMPUR - Cubaan seorang ejen menyeludup 52 hidupan liar ditempatkan di dalam tujuh sangkar kayu gagal apabila dipatahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Perhilitan dalam kenyataan memaklumkan, hidupan liar itu disita dalam satu operasi di Pos Aviation Kargo, Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

"Perhilitan berjaya menyita 48 ekor disyaki common marmoset dan empat ekor disyaki golden-handed tamarin dalam operasi di Pos Aviation Kargo, Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 24 Disember lalu.

"Hidupan liar ini ditemui tanpa dokumen sah dalam tujuh kotak sangkar kayu," menurut kenyataan jabatan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Ujarnya, seorang ejen turut ditahan untuk siasatan lanjut dan tindakan itu diambil di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

"Perhilitan komited memerangi jenayah hidupan liar bagi melindungi khazanah alam untuk generasi akan datang," menurut kenyataan itu lagi.