
KUALA LUMPUR — Perhimpunan ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang berlangsung dengan aman, melibatkan ribuan peserta berpakaian hitam yang berarak secara berfasa ke Dataran Merdeka seawal jam 7 pagi tadi dari pelbagai lokasi sekitar ibu negara.
Antara lokasi tumpuan termasuk kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Pasar Seni dan Masjid Jamek Kampung Baru yang dipantau rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Unit dron PDRM turut digerakkan bagi pemantauan udara sepanjang hari bagi memastikan keadaan terkawal.
Tinjauan Getaran mendapati, peserta mula bergerak ke Dataran Merdeka menjelang tengah hari, menggunakan laluan utama yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
Sumber polis juga mengesahkan, keadaan kekal aman tanpa sebarang insiden besar setakat jam 2 petang tadi.
Bagaimanapun, pihak polis bertindak menurunkan sebuah pentas yang didirikan penganjur di Dataran Merdeka kerana tiada permohonan rasmi dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, struktur tersebut juga tidak memenuhi syarat keselamatan, terutama kapasiti individu yang dibenarkan menaiki pentas.
Mengikut persetujuan awal, hanya dua kenderaan pacuan empat roda dibenarkan sebagai pentas ucapan.
Sumber DBKL memberitahu, khemah dan peralatan lain yang dibawa masuk turut dialih keluar kerana tidak mendapat kebenaran.
Sementara itu, platform media sosial turut dipenuhi rakaman suasana perhimpunan yang memaparkan kehadiran aktivis pelajar dan pempengaruh.
Di Pasar Seni misalnya, ucapan spontan dan laungan slogan turut kedengaran semasa kumpulan peserta bergerak menuju ke Dataran Merdeka.
Perhimpunan berkenaan juga menyaksikan Masjid Negara dan Masjid Jamek dipenuhi peserta yang menunaikan Solat Zohor secara berjemaah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil inisiatif mengeluarkan nombor hotline untuk dihubungi sekiranya berlaku tangkapan polis ke atas peserta.
Menjelang jam 2 petang, suasana perhimpunan semakin hangat dengan laungan “Turun Anwar”, disusuli ucapan daripada beberapa pemimpin politik.
Anggota Jabatan Amal PAS, PDRM, DBKL dan sukarelawan lain pula dilihat saling bekerjasama bagi memastikan kelancaran dan keselamatan perhimpunan. - Getaran, 26 Julai 2025

