Perhimpunan #Turun: Polis Serah Kertas Siasatan Esok

28 Jul 2022 • 3:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis telah mengambil keterangan daripada 27 individu yang disyaki terbabit dalam perhimpunan #Turun yang diadakan Sabtu lepas di ibu kota. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

KUALA LUMPUR - Polis akan menyerahkan kertas siasatan berhubung  perhimpunan #Turun di hadapan sebuah pusat beli-belah pada Sabtu lepas, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya esok. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan daripada 27 individu yang disyaki terbabit dalam perhimpunan itu. 

"Kita sudah lengkapkan kertas siasatan dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini. 

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sabtu lepas, kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu berhimpun sambil memegang plakad dan gegantung bertulis “potong gaji menteri”, “turun dan lawan” dan lain-lain. - Bernama