
Kota Kinabalu: Enam belas nelayan Vietnam didenda sejumlah RM2 juta kerana menangkap ikan secara haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada kesemua warga Vietnam itu yang mengaku bersalah kepada
pertuduhan terhadap mereka, pada Rabu.
Mereka ialah juragan Pham Nhanh, 39, serta anak kapal Phan Vinh Linh, 44, Gan Anh Quang, 42, Tran Anh Kiet, 70, Do Huu Vu, 33, Do Huu Phu, 27, Le Van Dong, 47, Pham Tan Duy, 20 , Nguyen Duc Tai, 29, Nguyen To Quang, 40, Phung Van Dang, 37, Nguyen Van Tri, 32, Nguyen Truong Nhat, 32, Nguyen Van Hung, 44, Nguyen Long, 33, dan Phan Hong Linh, 43.
Juragan didenda RM500,000 atau penjara lima bulan, manakala setiap anak kapal diperintah membayar denda RM100,000 atau penjara empat bulan.
16 nelayan itu didapati menangkap ikan tanpa sebarang permit di sebuah kapal nelayan pada jam 1.10 tengah hari 13 Ogos tahun ini di Pulau Kalampunian, Kudat.
Kesemua warga Vietnam itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta sama yang dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta bagi juragan, dan RM600,000 bagi setiap anak kapal, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, semua warga Vietnam itu meminta hukuman ringan dan dihantar pulang ke negara mereka secepat mungkin.
Juragannya memberitahu mahkamah bahawa mereka telah ditipu oleh pemilik kapal dari Vietnam ke perairan Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurun Nazifah Muhammad Iyen dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab penangkapan ikan secara haram yang dilakukan oleh nelayan asing telah menjejaskan sumber laut dan mata pencarian nelayan tempatan, khususnya di Sabah.
Mahkamah memerintahkan kapal itu dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Warga Vietnam itu juga diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara mereka.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

