Perintah Berkurung Perairan ESSZONE Dilanjut Hingga 22 Sept

9 Sep 2022 • 4:47 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

LAHAD DATU, 9 Sept (Bernama) — Perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir pada 7 Sept lepas, dilanjutkan sehingga 22 Sept ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terlibat tidak diceroboh pengganas, sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan, serta pelancong asing melawat pulau peranginan,” katanya di sini.

Idris berkata perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, katanya semua Ketua Polis Daerah di ESSZone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan perintah berkurung itu.

— BERNAMA