Peristiwa Double Tenth

11 Oct 2022 • 5:00 PM MYT
My Musing
My Musing

Writing on military, history, economics, and social issues since 2006.

Image from: Peristiwa Double Tenth
Kapt Albert Kwok. Sumber Gambar: Wikipedia (Jurugambar tidak diketahui)

Baru perasan hari ini (masa menulis) 10.10.22.

Dalam sejarah Malaysia, tarikh 10.10 ini amat keramat.

Pada tahun 10 Oktober 1943, sekumpulan rakyat tempatan berbilang kaum telah mengangkat senjata menentang penjajahan Jepun di kota Jesselton.

Bermula daripada serangan pertama di sekitar Api-api, pemberontakan yang diketuai oleh Kapt Albert Kwok Feng Nam itu merebak sejauh ke kawasan Penampang.

Dengan seramai sekitar 300 orang gerila yang terdiri daripada anggota polis tempatan, penduduk daripada pelbagai kaum, mereka berjaya menguasai kota Jesselton dengan senjata-senjata yang dirampas daripada segelintir anggota tentera Jepun yang berjaya dibunuh, serta daripada balai polis.

Pemerintahan Tentera Jepun amat terkejut dengan serangan tersebut. Ada sumber yang menyatakan bahawa pemerintahan Tentera Jepun beranggapan bahawa rakyat Sabah ketika itu sudahpun taat kepada Jepun dan mereka tengah merancang untuk mengerahkan tenaga anak bumi Sabah untuk menjadi anggota tentera Jepun.

Image from: Peristiwa Double Tenth
Kapt Albert Kwok. Sumber Gambar: Wikipedia (Jurugambar tidak diketahui)

Kapt Albert Kwok, seorang doktor perubatan Cina muda berasal dari Kuching, Sarawak telah merancang penentangan tersebut bersama-sama dengan seorang pemberontak berbangsa Tausug dari selatan Filipina. Melalui pemberontak tersebut, beliau telah cuba mendapatkan bantuan bekalan senjata dan peluru daripada Office of Strategic Services (OSS), iaitu badan perisikan Amerika Syarikat yang kemudiannya menjadi Central Intelligence Agency (CIA) hari ini. Malah, pangkat Kapt yang dipegang beliau dikatakan dianugerah oleh agensi berkenaan.

Tindak balas Jepun teramatlah kejam. Apabila Gerila Kinabalu ini berundur ke kawasan hutan sekitar Penampang, Tentera Jepun bertindak membunuh ahli keluarga mereka yang berjaya dikenalpasti sebagai anggota Gerila Kinabalu. Akhirnya, kesemua anggota Gerila Kinabalu telah ditahan Jepun dan sebilangannya dihantar ke Penjara Labuan.

Pada 21 Januari 1944, kesemua gerila Kinabalu telah dihukum mati, Kapt Albert Kwok bersama empat rakan rapatnya telah dipancung di Petagas, dan seramai 170 yang lain ditembak. Beberapa orang yang lain yang dipenjarakan di Labuan turut dihukum bunuh.

Lokasi anggota-anggota Gerila ini dihukum bunuh di Petagas hari ini menjadi memorial kepada perjuangan mereka. Dan setiap Januari, akan ada upacara peringatan akan pengorbanan mereka yang turut disertai oleh Kedutaan Jepun.

Tetapi, kisah perjuangan mereka cuma disebutkan dalam sekitar sebaris atau dua baris sahaja dalam buku tek sejarah Malaysia.

Satu-satu kali saya ke memorial tersebut di suatu petang yang cukup aman, seolah-olah kedengaran bisikan para gerila yang telah pergi sayup-sayup meminta agar pengorbanan mereka tidak menjadi sia-sia.


Danny Liew adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.

Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.