
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan mengizinkan kedaulatan Malaysia digugat sebaliknya perjanjian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai negara dengan Amerika Syarikat (AS) mempunyai klausa menjamin kedaulatan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia juga tidak berkompromi isu garis merah khususnya hak bumiputera, dasar perolehan dan tuntutan pembukaan ekuiti sektor strategik negara.
Tengku Zafrul juga menekankan bahawa Artikel 5.1.1 dalam ART tidak sepatutnya dilihat mengikut apa jua sekatan AS yang dikenakan ke atas negara lain.
"Malaysia harus tangani isu-isu bersama Amerika Syarikat, bukan sesekali sebagai negara bawahan. Malaysia berpegang teguh prinsip berkecuali, pastikan kepentingan dan kedaulatan negara dilindungi,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan khas berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan tidak tunduk dan mengikut telunjuk mana-mana kuasa sebaliknya berunding dengan yakin bagi jamin kedaulatan negara serta mempertahankan pertahan hak negara.
Beliau memberitahu, sekiranya perjanjian ART tidak segera dimeterai, Malaysia berdepan risiko berkemungkinan kerajaan AS naikkan semula kadar tarif kepada kadar asal iaitu 24% atau jauh lebih tinggi.
Malaysia juga, kata beliau, tetap perlu berunding dengan AS walaupun berdepan tekanan tarif unilateral demi kepentingan ekonomi dan negara.
Mengenai sektor mineral termasuk unsur nadir bumi (REE) pula, Tengku Zafrul memberitahu sebarang pembangunan sumber strategik negara termasuk REE perlu mengikut ikut undang-undang Malaysia dan dan bukan sesuka hati mengikut kehendak pelabur asing.
“Ini bermakna mesti ada nilai tambah di Malaysia, pekerjaan berkemahiran tinggi mesti diwujudkan di Malaysia dan teknologi pemprosesan mesti masuk ke Malaysia.
“Dasar kita ada untuk tidak mengeksport bahan mentah murah yang tidak diproses supaya nilai tambah berlaku dahulu di Malaysia,’’ katanya.
Terdahulu, Kerajaan negeri Kelantan meminta kerajaan persekutuan membentangkan kandungan penuh perjanjian perdagangan Malaysia dan AS di Parlimen serta di Majlis Tanah Negara terutama yang menyentuh mengenai sektor mineral termasuk REE.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, ini kerana kandungan perjanjian itu menimbulkan persoalan dan implikasi besar kepada negeri sumber REE seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah serta negeri-negeri lain.
Jelasnya, Kelantan memiliki deposit REE kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilainya mencecah ratusan bilion ringgit dan terletak di daratan serta berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. - 29 Oktober, 2025
The post Perjanjian ART ada klausa jamin kedaulatan negara : Zafrul appeared first on Scoop.


