
KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Kelantan meminta kerajaan persekutuan membentangkan kandungan penuh perjanjian perdagangan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di Parlimen serta di Majlis Tanah Negara terutama yang menyentuh mengenai sektor mineral termasuk unsur nadir bumi (REE).
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, ini kerana kandungan perjanjian itu menimbulkan persoalan dan implikasi besar kepada negeri sumber REE seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah serta negeri-negeri lain.
Jelasnya, Kelantan memiliki deposit REE kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilainya mencecah ratusan bilion ringgit dan terletak di daratan serta berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Rundingan khas, ujar beliau, perlu diadakan bersama semua negeri pengeluar sebelum sebarang dasar atau pemberian lesen dilaksanakan.
Beliau memberitahu, meskipun mengalu-alukan teknologi, kepakaran dan kerjasama namun sumber negeri tidak boleh dijadikan cagaran politik atau bahan tawar menawar diplomatik.
“Perjanjian Malaysia dengan Amerika Syarikat menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika dan ini menimbulkan persoalan besar.
“Bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau menghadkan eksport bahan mentah demi menjamin nilai tambah tempatan, adakah langkah itu akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian tersebut?
“Adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri, atau semuanya kini terikat kepada janji yang dibuat kerajaan persekutuan kepada kerajaan Amerika Syarikat? Ini bukan soal politik. Ini soal kedaulatan ekonomi negeri,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Ahad, Malaysia dan AS memeterai perjanjian komprehensif yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran, serta mempertingkat daya tahan rantaian bekalan.
Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam, dan kenderaan penumpang, selain produk pertanian seperti tenusu, ayam itik, dan beras.
Sebagai timbal balas, AS akan mengekalkan tarif pada kadar 19% terhadap barangan Malaysia, manakala beberapa produk terpilih akan menikmati kadar sifar (0%) di bawah kategori rakan kongsi sejajar.
Malaysia juga bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi menjamin kestabilan dan kepastian dalam peningkatan kapasiti pengeluaran negara.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, sebelum perjanjian ini tandatangani, negeri-negeri pengeluar tidak dirunding dan beliau mempersoalkan bagaimana perjanjian bernilai berbilion ringgit yang menyentuh hasil bumi negeri boleh dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri.
Keadaan ini, katanya menyimpang dari semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan.
Rakyat Kelantan, katanya, masih menanggung luka akibat kehilangan hasil royalti petroleum yang disifatkan antara ketidakadilan terbesar yang telah dilakukan terhadap rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.
“Kami tidak menolak pelaburan luar namun pelaburan mesti disertai rasa hormat kepada kedaulatan negeri, bukan menyerahkan hak kepada orang lain atas nama diplomasi.
‘Kita mencari kaedah terbaik, rakan pelabur yang adil dan bentuk kerjasama yang membawa keuntungan maksimum kepada rakyat dan negeri Kelantan, bukan mereka yang hanya mahu mengaut hasil bumi dan meninggalkan hanya kerak dan sisa.
“Walaupun hak untuk menandatangani sebarang perjanjian di peringkat antarabangsa adalah hak persekutuan tetapi sumber dan "subject matter" nya adalah hak kerajaan negeri justeru negeri pengeluar berhak tahu dan berhak bersuara tentang sumbernya sendiri,’’ katanya. - 29 Oktober, 2025
The post Perjanjian dengan AS: Kelantan persoal hasil bumi REE ‘sumber negeri tidak boleh dijadikan cagaran politik’ appeared first on Scoop.



