
BISHKEK: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menegaskan Perjanjian Mekah bagi Pertahanan Bersama yang melibatkan negaranya bersama Arab Saudi dan Turkiye secara asasnya bersifat pertahanan dan tidak ditujukan kepada mana-mana negara lain.
Beliau berkata, pakatan tiga hala tersebut juga tidak bertujuan untuk mencetuskan konfrontasi mahupun perpecahan di peringkat antarabangsa.
“Ia tidak diarahkan kepada mana-mana negara dan tidak bermaksud untuk mewujudkan sebarang konfrontasi atau perpecahan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Majlis Ketua-Ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Bishkek, Kyrgyzstan pada Selasa.
Türkiye, Pakistan dan Arab Saudi menandatangani pakatan pertahanan berkenaan pada 7 Ogos lalu, sebelum mesyuarat pertama Jawatankuasa Politik Strategik dan Pertahanan diadakan di Istanbul pada Isnin.
Mengulas mengenai ketegangan serantau, Shehbaz menyatakan Pakistan bertindak sebagai perantara dan pemudah cara yang jujur serta ikhlas menerusi usaha diplomatik yang akhirnya membuahkan hasil melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi meredakan ketegangan.
Dalam pada itu, Shehbaz turut menegaskan isu sumber air tidak sepatutnya dijadikan senjata atau alat gertakan politik, sambil mengulangi komitmen berterusan Pakistan dalam menentang ancaman keganasan.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan India yang menghentikan perkongsian maklumat air dengan Pakistan di bawah Perjanjian Air Indus sejak tahun lalu pasca-insiden serangan di wilayah Kashmir yang mengorbankan 26 nyawa.
“Air adalah nadi kehidupan rantau kita. Ia menyokong jutaan nyawa, menyuburkan tanah dan menjamin masa depan generasi akan datang.
“Perjanjian yang mengawal sumber air bersama adalah komitmen antarabangsa yang mengikat. Ia bukan perkara yang boleh diketepikan mengikut sewenang-wenangnya dan perlu dihormati tanpa syarat,” tegasnya tanpa menamakan New Delhi secara langsung.
Beliau turut mendedahkan lebih 90,000 rakyat Pakistan terkorban manakala negara itu mengalami kerugian ekonomi melebihi AS$150 bilion (RM606.6 bilion) dalam perang menentang keganasan sepanjang 25 tahun lalu.
Pada masa sama, beliau menggesa komuniti antarabangsa untuk menunaikan komitmen bagi membantu rakyat Palestin serta bangsa lain yang ditindas dalam menuntut hak menentukan nasib sendiri.
Memandangkan Pakistan kini memegang kerusi Pengerusi SCO, Shehbaz memberi jaminan bahawa Islamabad akan memberi keutamaan kepada aspek keterhubungan, kecerdasan buatan (AI), tenaga, pembasmian kemiskinan, pengurusan bencana dan kesihatan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan infrastruktur serta rangka kerja tadbir urus AI berdaulat di bawah SCO bagi mempromosikan pembangunan teknologi secara bertanggungjawab dan inklusif. -AGENSI
The post Perjanjian Mekah demi pertahanan, bukan ancaman – PM Pakistan appeared first on Utusan Malaysia.
