Perjanjian YTL-kerajaan PN pada 2021 akan disemak semula, kata PM Anwar
zulfadli
22/12/2023 - 18:00
KUALA LUMPUR 22 Dis - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyemak semula proses pengurusan tender bagi pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Perdana Menteri berkata, proses pemberian tender mesti dijalankan dengan telus selari dengan pendirian kerajaan selama ini terhadap soal urus tadbir dan tatakelola.
"Kita akan melalui proses yang normal. Tidak ada asas untuk menganggap bahawa proses itu akan melalui proses rundingan terus.
"Tidak, kita perlu melalui proses yang betul dan telus kerana kita telah menyatakan dengan jelas," katanya kepada pemberita di Masjid Kota Damansara hari ini.
Justeru, katanya, perjanjian kerajaan dengan syarikat YTL yang dimeterai pada 2021 akan disemak semula.
“Kita perlu melihat semula keseluruhan proses itu, sama ada proses itu dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata, beberapa kajian akan dilaksanakan bagi memperkenalkan langkah penambahbaikan khususnya berkaitan aspek perundangan dalam pelaksanaan projek itu.

Katanya, proses perancangan dan kelulusan bagi pembangunan dan pelaksanaan projek MLFF telah dibuat oleh kerajaan terdahulu pada 2021.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2021 didakwa telah menandatangani perjanjian pelantikan dengan syarikat itu dan memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akan membiaya pelaksanaan projek itu, lapor Harapan Madani.
Menerusi MLFF, sistem kutipan tol di lebuh raya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Melalui sistem itu pengguna jalan raya boleh menggunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama. - DagangNews.com

