
Kota Kinabalu: Parti Warisan (Warisan) menggesa Kerajaan Sabah memberi penjelasan telus mengenai lonjakan kos pembinaan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah, khususnya sama ada peruntukan tambahan itu digunakan untuk menangani masalah banjir kilat dan menyediakan kemudahan keselamatan asas di sepanjang laluan projek.
Pengarah Komunikasi Strategik Pusat Warisan Christopher Masudal berkata rakyat Sabah mengalu-alukan pembangunan namun pembangunan yang menyebabkan kampung-kampung setempat dilanda banjir bukanlah satu kemajuan sebaliknya mencerminkan kecuaian walaupun melibatkan peruntukan berbilion ringgit.
Beliau menarik perhatian kepada pengesahan Kerajaan Persekutuan bahawa kos Fasa 1 projek itu meningkat hampir dua kali ganda daripada RM12.86 bilion pada 2015 kepada RM24.889 bilion ketika ini.
Walaupun Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini menjelaskan kenaikan itu berpunca daripada perubahan skop, reka bentuk, struktur geoteknikal, rawatan tanah serta pemindahan utiliti berskala besar, Christopher mempersoalkan sejauh mana tambahan lebih RM12 bilion itu benar-benar digunakan bagi mengatasi kegagalan sistem saliran.
“Saya mengemukakan soalan ini secara langsung kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya. Kerajaan perlu mengesahkan sama ada perubahan skop dan reka bentuk serta rawatan tanah dalam peruntukan baharu ini merangkumi kerja-kerja saliran yang mencukupi bagi mempercepatkan pengaliran air di kawasan tanah rendah yang kritikal,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kebimbangan itu bukan sekadar andaian, sebaliknya berdasarkan kejadian yang sering dilaporkan dan dialami penduduk di beberapa kawasan.
Menurutnya, antara kawasan yang terjejas ialah: Lumadan: Kampung Lumadan Jaya dilaporkan mengalami banjir buat kali pertama selepas pembinaan lebuh raya diteruskan tanpa sistem saliran mencukupi di laluan menuju Bukau, Meraba dan Inuman. Kampung Kolopis, Penampang: Banjir kilat didakwa berlaku beberapa kali dalam tempoh sembilan bulan hingga setahun, terutama selepas hujan lebat berterusan selama dua hingga tiga jam, menyebabkan penduduk merayu agar sungai didalamkan dan dilebarkan. Kinarut dan Papar: Penduduk di kawasan tanah rendah terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah, sekolah dan jalan raya dinaiki air akibat sistem saliran yang didakwa tidak mampu menampung limpahan air.Christopher berkata kebanyakan penduduk terjejas terdiri daripada golongan B40 yang tidak berkemampuan berpindah atau membina rumah baharu di kawasan lebih tinggi apabila kampung mereka dilanda banjir berulang kali.
Selain isu saliran, Christopher turut membangkitkan aspek keselamatan jalan raya. Beliau mendakwa beberapa laluan lebuh raya itu masih tidak dilengkapi lampu jalan, menjadikannya ibarat “perangkap maut” kepada pengguna pada waktu malam.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan: Memberi jaminan bahawa pemasangan lampu jalan di laluan kritikal termasuk dalam skop belanjawan terbaharu; Mewujudkan sistem pemantauan awam secara dalam talian yang memaparkan kemajuan fizikal, penyaluran dana serta spesifikasi kerja mengikut pakej pembinaan; dan Memberikan penjelasan terperinci mengenai skop kerja membabitkan sistem saliran dan pencahayaan supaya rakyat dapat menilai sendiri keberkesanan projek.“Pembangunan di Sabah tidak boleh terus dilaksanakan secara separuh masak. Jalan raya tanpa lampu, tanpa sistem saliran yang baik dan tanpa ciri keselamatan asas bukanlah sebuah lebuh raya yang siap. Ia hanyalah janji yang belum ditunaikan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin dari Semenanjung supaya tidak bermegah dengan jumlah peruntukan berbilion ringgit yang disalurkan ke Sabah sekiranya rakyat masih berdepan risiko memandu dalam keadaan gelap dan kediaman mereka terus dilanda banjir.
Menurutnya, Sabah telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi hasil minyak dan gas, justeru rakyat negeri itu berhak menikmati infrastruktur yang selamat dan mampu mengurangkan risiko banjir.
“Kami bukan meminta belas ihsan. Kami hanya mahu kerajaan mengesahkan secara jelas dan terbuka bahawa berbilion ringgit yang dibelanjakan benar-benar menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan sejak sekian lama, bukannya mengulanginya pada kos yang lebih tinggi,” katanya.



