
Kota Kinabalu: Setiausaha DAP Sabah Vivian Wong berkata kerjasama antara generasi amat penting untuk memastikan parti terus berkembang dan mampu membawa kemajuan kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata perpaduan dan keyakinan akan menjadi kunci utama untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada ahli pengasas dan pemimpin veteran parti itu, sambil mengakui bahawa kekuatan serta kredibiliti DAP Sabah hari ini berpaksikan kepada pengorbanan dan asas kukuh yang telah mereka bina.
“Politik bukanlah perlumbaan individu, ia adalah acara berganti-ganti yang memerlukan kerjasama dan usaha bersama.
“Setiap generasi perlu menyerahkan baton kepada generasi seterusnya. Hanya melalui kesinambungan ini kita dapat mencapai kejayaan lebih besar untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata setiap generasi mempunyai misinya tersendiri iaitu generasi terdahulu telah meletakkan asas dan hala tuju manakala pemimpin masa kini perlu meneruskan cita-cita serta khidmat parti, seperti yang sering ditekankan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Vivian turut menyatakan penghargaan kepada veteran parti yang mana ketabahan mereka telah membuka peluang kepada generasi muda untuk berkhidmat hari ini.
Katanya peralihan generasi bukan soal menggantikan, tetapi memperbaharui, menghubungkan pengalaman dengan idea baharu dan idealisme dengan pragmatisme.
Tokoh-tokoh senior seperti Datuk Chan Foong Hin, katanya, terus membimbing barisan kepimpinan baharu DAP Sabah.
“Dalam DAP, tiada siapa yang lebih besar daripada parti. Sama ada senior atau junior, semua memainkan peranan dalam menguatkan gerakan ini,” katanya.
“DAP bukan milik mana-mana individu. Ia milik semua yang memperjuangkan demokrasi, keadilan dan kepelbagaian,” tambahnya.
“Politik adalah larian maraton. Setiap orang melalui jalannya sendiri, dan kita menghargai setiap sumbangan mereka,” katanya. Beliau berkata apa yang benar-benar memberi inspirasi kepadanya ialah kesetiaan mereka yang tetap teguh walaupun berdepan kesukaran.
Vivian turut memuji kepimpinan dan komitmen Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe yang juga antara menteri termuda dalam Kerajaan Negeri.
Menjelang pilihan raya negeri, Vivian menyeru agar semua ahli menumpukan perhatian kepada perpaduan, kepercayaan dan tindakan.
“Kita mesti kekal bersatu, memperkukuh asas kita, dan meraih keyakinan rakyat melalui khidmat. Jangan biarkan diri kita terpesong, marilah kita bersama-sama membina Sabah yang lebih adil dan lebih baik,” katanya.
