‘Perjuangan dianggap mulia, aku persoalkan semula’ - Hassan Karim

LocalPolitics
4 Sep 2023 • 10:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hassan

SHAH ALAM - Ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menghasilkan puisi bertajuk ‘Sajak DNAA’ menerusi hantaran di Facebooknya.

Sajak tersebut dipercayai berkait dengan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan bagi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengakui sangat bersedih dan mempersoalkan mengapa ia terjadi dalam negara.

Malah, beliau turut mengakui sudah mula mempersoalkan perjuangan yang dianggap mulia selama ini.

Berikut ialah sajak penuh beliau:

Mengapa begini yang terjadi?

Kita hari hari bercakap basmi korupsi

Kita berdiri di tahaf moral yang tinggi

Bebas dari rasuah

Tegakkan integriti

Kita melaungkan slogan reformasi

Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?

Prima facie telah terbukti

Tiba tiba hari ini pertuduhan korupsi digugurkan

DNAA dihadiahkan

Keputusan dilepas tanpa dibebas

diberi begitu begitu mudah saja

Begitu santai santai kelihatannya

Lalu aku bertanya di manakah kedaulatan undang undang yang ada?

Yang kerap diulang sebut di bulan kemerdekaan ini

Jangan murka bila aku menyoal lagi

Benarkah Perlembagaan negaraku ini luhur?

Tiada dua darjat dalam tafsiran hukum?

Satu untuk rakyat jelata

Satu lagi untuk mereka dari elit berkuasa?

Tiada hari yang aku berasa sedih seperti hari ini

Terasa kosong dan sia sia belaka

Perjuangan yang aku anggap mulia selama ini

Kini aku persoalkan semula

Tetapi inilah yang terjadi

Orang yang rasuah dan pecah amanah

Boleh lepas dari hukum

Secara mudah mudah sahaja

Isyarat apa pemerintah hari ini ingin beritahu kepada dunia?

View Original Article