Perjuangan Rakyat: Menghadapi Realiti Kemiskinan

Opinion
1 Jun 2023 • 12:00 PM MYT
Dr. Mahathir
Dr. Mahathir

Politician

image is not available
Negara maju, rakyat miskin. Gambar oleh: Berita rtm

Malaysia, yang megah dengan kepelbagaian bangsa dan keunikan alam semulajadi, masih lagi dilanda dilema kemiskinan yang menghantui kehidupan seharian rakyat, khususnya komuniti Melayu. Suatu paradoks yang memerlukan kita untuk menyoal, berfikir dan bertindak.

Bahkan, ia menjadi lebih parah apabila isu ini sering dijadikan bahan politik bagi kepentingan pihak tertentu. Kita melihat bagaimana bantuan dihulurkan bukan berdasarkan kepada keperluan, tetapi berdasarkan atas aspirasi "parti politik" tertentu.

Penderitaan rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan politik.

Meskipun kadar kemiskinan negara menurun dengan ketara berbanding lima dekad dahulu dengan kadar kemiskinan mutlak peringkat nasional turun daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019 ia bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan.

Selain itu, kadar kemiskinan di bandar menurun daripada 21.3 peratus kepada 3.8 peratus, manakala kadar kemiskinan di luar bandar menurun daripada 58.7 peratus kepada 12.4 peratus.

Secara keseluruhan dalam tempoh lima dekad, pertumbuhan purata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun antara 1971 hingga 2021, manakala bagi tempoh 1971 hingga 1990, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 6.7 peratus.

Memang suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa isu kemiskinan masih menjadi masalah utama dalam kalangan masyarakat Melayu. Pendapatan isi rumah yang jauh lebih rendah berbanding kaum lain menunjukkan adanya jurang luas yang perlu dirapatkan.

Bagai mencurah air ke daun keladi, usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan agar ianya benar-benar memberi impak positif dan bukan sekadar menjadi aliran yang tidak membawa kepada perubahan.

Walaupun kerajaan telah membentuk pelbagai agensi untuk mengatasi isu kemiskinan, persoalannya masih tetap sama - adakah pemimpin kita cukup ikhlas dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka?

Atau mungkinkah kita perlu bertanya soalan yang lebih mendalam: adakah bantuan dan pertolongan yang dihulurkan oleh kerajaan benar-benar berdasarkan atas dasar kemanusiaan atau hanya sekadar gimik politik?

Kemiskinan relatif juga menjadi masalah yang serius dalam kalangan masyarakat kita. Seperti pepatah lama, "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan", jika kita ingin mengatasi masalah ini, kita perlu menyelami dan memahami punca masalah sehinggalah ke akar umbi.

Pertama sekali, tahap gaji bagi kebanyakan individu tidak mencukupi dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak. Sejak pandemik Covid-19, kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, sedangkan pertumbuhan gaji telah perlahan sejak beberapa dekad lalu.

Pendekatan kerajaan untuk mengekang kos sara hidup yang meningkat, dengan tidak menaikkan gaji, telah mendapat tentangan hebat dan kritikan daripada rakyat.

Inilah lanskap kontemporari kita yang penuh dengan ironi; pada satu pihak, kita melihat kemajuan teknologi dan ekonomi yang meroket, tetapi pada sisi lain, kita melihat sebilangan besar rakyat masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka setiap hari.

Di sinilah terletaknya keperluan untuk menyemak semula pendekatan kita terhadap kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan gaji. Adakah kita harus melihat dengan lebih jauh daripada model ekonomi semasa dan mencari penyelesaian alternatif yang lebih adil dan berkesan?

Ini bukan lagi soal keuntungan semata-mata, tetapi soal hakikat bahawa setiap rakyat berhak hidup dengan martabat dan kesejahteraan. Ini adalah soal membina masa depan di mana setiap rakyat dapat hidup dalam masyarakat yang adil dan saksama, di mana upaya mereka diberi ganjaran yang setimpal.

Ini adalah soal mengubah jurang kemiskinan dan melawan ketidakadilan. Ini adalah cabaran bagi semua, dan kita harus berani untuk berubah dan bertindak.

Kemiskinan bukan sahaja perlu dilihat dari segi pendapatan, tetapi juga dari segi akses terhadap pendidikan, perubatan, dan kemudahan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik.

Pada zaman serba maju dan canggih ini, masih ada rakyat kita yang menerangi kehidupan sebelah malam mereka dengan sebatang lilin, masih ada yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, masih wujud mereka yang menumpang teduh dalam satu struktur yang tak ubah seperti kandang haiwan atau reban ayam dan masih ramai yang menumpang tidur di kaki-kaki lima.

Keadaan ini bukan sahaja merendahkan martabat mereka, tetapi juga menggambarkan ketidakadilan sosial yang masih berlaku. Oleh itu, perlu ada tindakan yang lebih proaktif dan inklusif daripada pihak kerajaan untuk membantu golongan ini keluar dari lingkaran kemiskinan.

Jadi, apa sebenarnya yang rakyat perlu lakukan?

Dalam usaha memerangi kemiskinan yang meresap di kalangan masyarakat Melayu dan rakyat secara amnya, langkah-langkah strategik seperti pelaburan dalam pendidikan, mencipta peluang pekerjaan, penambahbaikan sistem kesihatan, mengurangkan jurang pendapatan, membina infrastruktur yang lebih baik, dan meningkatkan kualiti perumahan adalah perlu dan harus dipertingkatkan lagi.

Namun, sebelum kita boleh mengapai hasrat ini, kita perlu menghadapi realiti dan menuntut kejujuran dan kebertanggungjawaban daripada mereka yang berkuasa. Langkah-langkah ini harus diambil berteraskan pada data dan kajian yang teliti, tidak boleh dilakukan secara sesuka hati atau dengan tujuan politik semata-mata.

Ingatlah, negara ini adalah milik kita bersama, dan setiap rakyat berhak untuk merasa nikmat kemakmuran dan keadilan. Kita semua perlu berperanan dalam membentuk Malaysia yang adil dan saksama.

Sebagai rakyat yang cintakan negaranya, kita mesti menyuarakan suara hati kita, menuntut kesaksamaan dan kesamarataan bukan hanya untuk kita, tetapi untuk generasi yang akan datang.

Perubahan bukanlah sesuatu yang datang dengan sendirinya, tetapi sesuatu yang harus kita perjuangkan bersama.

Oleh: Mahathir Hj Mohd Rais
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan


Mahathir Mohd Rais adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.