Perjuangan Tang Jie-Ee Wei berakhir

15 Dec 2023 • 11:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tang Jie dan Ee Wei merekodkan satu kemenangan dan dua kekalahan dalam aksi Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou.

HAJAT beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah tiket separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF tidak kesampaian apabila mengalami kekalahan kedua dalam aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi.

Turun dengan misi wajib menang dalam aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou, China itu, Tang Jie-Ee Wei tewas 21-18, 18-21, 14-21 kepada beregu keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menduduki tangga tercorot Kumpulan A di belakang tiga lagi beregu - Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Dechapol-Sapsiree.

Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei tampil selaku gandingan 'bukan pilihan' di bumi Hangzhou bersandarkan kedudukan ranking tiga lagi lawan mereka itu.

Yan Zhe-Dong Ping kini menghuni ranking pertama dunia, diikuti Watanabe-Higashino yang menduduki tangga kedua, manakala Dechapol-Sapsiree di tangga keenam.

Sekalipun tersingkir awal, pujian harus diberikan buat Tang Jie-Ee Wei yang berjaya mengejutkan Watanabe-Higashino dengan kemenangan 12-21, 21-16, 21-16 dalam aksi kedua peringkat kumpulan pada Khamis.

Sebelum itu, Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kelapan dunia terpaksa akur dengan kehebatan Yan Zhe-Dong Ping apabila tewas mudah 10-21, 13-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Rabu.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertama Tang Jie-Ee Wei pada kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.7 juta).

Terdahulu, beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersingkir awal selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Kumpulan A.

Ia adalah kali keempat Aaron-Wooi Yik gagal melepasi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas turut mengalami nasib sama dalam tiga penampilan terakhir - 2019, 2020 dan 2022.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved