Perjuangan Terakhir Anwar: Akan-kah PKR Memimpin atau Mengulangi Kesalahan Reformasi?

Politics
25 May 2025 • 5:00 PM MYT
Tahanazar al-Qadree
Tahanazar al-Qadree

Political Sc. grad turned HR practitioner; Trainer with real-world insight

image is not available
PM DS Anwar bin Ibrahim Kredit: Facebook.com.

Pada akhir 1990-an, gerakan Reformasi Malaysia dan kebangkitan selari Indonesia terhadap kediktatoran Soeharto melambangkan kebangkitan reformasi di rantau Asia Tenggara. Di negara kita, Anwar Ibrahim pada tahun 1998 sebaik dipecat dari UMNO, memulakan gerakan Reformasi di Malaysia.

Kedua-duanya berjanji untuk membongkar Korupsi (rasuah), Kolusi (pakatan sulit) dan Nepotisma - KKN - trio toksik – 3 sekawan, elemen yang meracuni dan meruntuh tadbir urus sesebuah negara.

Beberapa dekad sudah berlalu, ironinya sungguh pahit; parti-parti yang lahir daripada perjuangan menentang trio toksid ini, kini berisiko mencerminkan sistem yang pernah mereka kutuk dan kecam, sebaliknya menghantui parti-parti mereka.

Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim berjuang untuk mengekalkan kredibiliti reformisnya, ia berada di persimpangan jalan dek kerana beberapa insiden sedang berlaku dan menyelubungi parti ini.

Adakah ia akan memutuskan kitaran hipokrasi seperti mana kehancuran gerakan Reformasi sebelum ini di beberapa negara - Reformasi Mahasiswa Universiti Indonesia, Parti Pekerja Brazil (PT), dan Pergerakan Lima Bintang Itali (M5S)?

Atau adakah kelangsungan hidup PKR yang kini memasuki tahun ketiga selepas PRU 15 dalam gabungan longgar "marriage of convenience" dan berada dipuncak kuasa akan tumpas pada prinsip penubuhannya untuk mengekang KKN?

Jauh lebih bahaya benarkah PKR akan terperangkap dalam bayang-bayang perjuangan parti sendiri dan seterusnya sendu, senasib dan berkubur seperti parti-parti dan gerakan Reformasi abad ke 21 yang lain.

Perangkap Hipokrasi: Pengajaran Daripada Pergerakan Reformasi Yang Gagal

1. Indonesia, pasca-Soeharto

Selepas tahun 1998, menerusi kejayaan Gerakan Reformasi Mahasiswa dan massa yang menjatuhkan rejim Soeharto, berikrar untuk menguburkan kronisma rejim Orde Baharu beliau. Orde Baru atau Order Baharu (ialah sebutan untuk zaman pemerintahan 32 tahun Presiden Soeharto dari 1966-1998, yang menggantikan Orde Lama, zaman pemerintahan sebelumnya, Soekarno 1945-1965).

Ala dan era Orde Baru bersifat Autoritarian di mana sistem itu dibina di sekeliling teras yang agak sempit, yang terdiri daripada tentera dan sekumpulan sekutu awam.

Image from: Perjuangan Terakhir Anwar: Akan-kah PKR Memimpin atau Mengulangi Kesalahan Reformasi?
Imej dan lambang Gerakan Reformasi Mahasiswa dan Massa Indonesia 1998 Kredit: Kompasiana.com

Dan apabila Soeharto dijatuhkan oleh gerakan reformasi mahasiswa universiti dan rakyat pada tahun 1998 Orde Baru yang bersifat Autoritarian berjaya digantikan. Dan gerakan pelajar pada masa itu menuntut dan mendesak penghapusan Korupsi, Kolusi dan Nepotisma di dalam pemerintahan negara.

Namun hari ini, politik dinasti berkembang maju. Presiden Joko Widodo, pernah dipuji sebagai "lelaki rakyat," (A Man of the People)menyaksikan anaknya, Gibran Rakabuming Raka, dilantik sebagai Datuk Bandar Solo dikritik akan penglibatannya ke atas keputusan kontroversi Mahkamah Perlembagaan dalam kes pencalonan Naib Presiden Pilpres 2024.

Mahkamah Perlembagaan, yang diketuai oleh abang ipar Jokowi, akur pada syarat umur kelayakan bertanding Naib Presiden dan menambah syarat baru memegang jawatan sebagai Datuk Bandar untuk membolehkan kebangkitan Gibran sah bertanding - langkah pengkritik menggelar sebagai "nepotisme yang disahkan."(legalised Nepotism).

Sementara itu, badan antirasuah seperti KPK(Komisi Pemberantasan Korupsi) semakin lemah secara sistematik dan dicampuri urusan oleh Presiden Jokowi.

Pengajaran buat PKR :

Sistem yang sudah berakar tunjang sekian lama akan sukar menentang perubahan kecuali institusi itu terlindung dan tiada campur tangan politik.

Image from: Perjuangan Terakhir Anwar: Akan-kah PKR Memimpin atau Mengulangi Kesalahan Reformasi?
Bendera lambang identiti PKR. Kredit:https://hambali1.blogspot.com/2018/04/

Anwar yang juga Perdana Menteri, baru-baru ini memenangi jawatan Presiden PKR 2025-2028 tanpa ditandingi untuk sesi terakhir memimpin PKR, mesti mula menggubal undang-undang perlindungan struktur, seperti had penggal PM dan undang-undang anti-nepotisme, untuk menghalang demokrasi Malaysia daripada menjadi pusaka keluarga. Penggubalan undang-undang untuk tujuan ini ada meritnya dalam konteks amalan Nepotisma, sebelum nasi menjadi bubur.

Mahukah kita mempunyai Ketua Eksekutif Negara( seperti Presiden atau Perdana Menteri) yang menggunakan kedudukan, kuasa dan pengaruh melantik isteri atau ahli keluarga sendiri, sebagai Timbalan? Seperti mana berlaku sekarang ini di sebuah negara rentas benua di rantau Caucasus Selatan, yang terletak di persimpangan Eropah Timur dan Asia Barat.

Tendensi Nepotisma itu memang ada apabila budaya parti berubah dan di kelilingi oleh “Yes-Men” dan budaya “Mengampu dan Membodek” menunjangi sesebuah organisasi politik itu, walaupun pada awal penubuhannya budaya ini tiada.

Ada di kalangan pimpinan teratas PKR telahpun mengamalkan Nepotisma dengan meletakkan anak-anak sendiri calon di dalam pilihanraya yang ke 15 lalu dan dilantik bertugas di institusi Parlimen. Semua ini diperhati oleh rakyat ramai melihat parti yang menentang KKN seperti seolah-olah sudah kehilangan kompas perjuangan.

Terdapat di kalangan pemimpin lepas yang mencipta lorong politik terkait dengan Nepotisma untuk anak-anak dan kerabat dekat mereka-Mahathir-Mukhriz, Abdullah Badawi- Khairi Jamaluddin, Najib Razak-Mohd Nizar, Anwar-Nurul Izzah, Lim Kit Siang-Lim Guan Eng antara contoh-contoh yang ada.

Dalam baki lebihkurang 2 tahun, sebelum memasuki PRU 16, untuk parti ini kekal relevant dengan perjuangan, PKR seharusnya tidak berkompromi dengan ideal parti—bersekutu dengan parti yang tercemar, pelantikan dinasti (contohnya, Nurul Izzah), dan mengutamakan kuasa berbanding prinsip akibatnya mengikis kepercayaan orang ramai terhadap ikrar anti rasuah, anti kolusi dan anti Nepotisma.

2. Parti Pekerja Brazil (PT): Kekuasaan Mengatasi Prinsip

Kejayaan awal Parti Pekerja Brazil yang ditubuhkan pada tahun 1980, dan menjadi sangat popular kerana perjuangan pro golongan pekerja dan pendemokrasian menentang kediktatoran tentera menjadikannya penting dalam politik Brazil, terutamanya pada tahun 2000-an di bawah kepimpinan Luiz Inácio Lula da Silva dan Dilma Rousseff.

Image from: Perjuangan Terakhir Anwar: Akan-kah PKR Memimpin atau Mengulangi Kesalahan Reformasi?
Bendera lambang identiti parti Pekerja Brazil. Kredit: Google.com

PT di bawah Lula da Silva yang kemudiannya menjadi Presiden Brazil-mengangkat berjuta-juta rakyat Brazil keluar daripada kemiskinan tetapi dibayangi oleh skandal syarikat Operasi Cuci Kereta di Brasilia.

Skandal ini mendedahkan rasuah sistemik yang melibatkan golongan elit parti PT dengan pengubahan wang haram.

Pada Mac 2014 siasatan terhadap sebuah syarikat cuci kereta di Brasília berfungsi sebagai “shell company” melakukan pengubahan wang haram, prosiding tersebut mendedahkan skim rasuah besar-besaran dalam kerajaan persekutuan Brazil, terutamanya dalam perusahaan milik negara.

Parti PT ini mengutamakan dominasi dan kemenangan pilihanraya, bertolak ansur dengan rasuah untuk mengekalkan gabungan. Pada masa Presiden Dilma Rousseff dipecat pada 2016, kewibawaan moral PT telah runtuh.

Pengajaran buat PKR:

Berkompromi dengan pelaku rasuah demi kuasa menghakis kredibiliti.

Anwar mesti membersihkan PKR daripada tokoh-tokoh tercemar dan menolak pakatan dengan parti-parti seperti UMNO, yang pemimpinnya menghadapi tuduhan rasuah.

Gerak isyarat populis dan retorik seperti menentang Rasuah, Kolusi dan Nepotisma seperti di tahun 90-an tidak boleh menggantikan integriti institusi dan aparatus kerajaan.

3. Pergerakan Lima Bintang Itali (M5S): Bahaya Pragmatisme

Gerakan Lima Bintang (M5S) atau “Movimento 5 Stelle”, adalah sebuah parti politik Itali, muncul sebagai satu kekuatan dalam politik negara itu dengan platform “anti-establishment” dan “ anti-retorik populis” dan memberi tumpuan kepada demokrasi langsung.

Image from: Perjuangan Terakhir Anwar: Akan-kah PKR Memimpin atau Mengulangi Kesalahan Reformasi?
Logo lambang parti Pekerja Itali Kredit Brindisicronaca.com

Diasaskan pada tahun 2009 oleh pelawak Beppe Grillo, ia mendapat populariti yang signifikan dengan mengkritik rasuah dan sistem politik tradisional.

M5S telah menjadi pemain utama dalam lanskap politik Itali, membentuk kerajaan pakatan dan menyokong isu-isu seperti langkah-langkah anti rasuah, perlindungan alam sekitar, dan demokrasi langsung.

Mulai berkuasa pada tahun 2018 sebagai parti politik baru berimej "anti-establishment" berikrar untuk memerangi rasuah awam memperkenalkan“spazzacorotti” - undang-undang pemusnah rasuah yang terkait dengan senarai pelanggan "clientelist politics" di Itali.

Namun dalam beberapa tahun, ia bekerjasama dengan Parti Demokratik kiri-tengah dan menghadapi skandal mengenai salah urus dana EU. Pengundi berasa dikhianati, dan sokongan menjunam.

Pengajaran untuk PKR:

Pergerakan akar umbi mati apabila mereka menjadi "golongan elit" atau “establishment-lite.” Mereka lupa pada batu asas perjuangan dan berlaku transformasi gaya kepimpinan apabila mempunyai kuasa.

PKR mesti mengelakkan perhubungan pakatan transaksi(sekiranya rakan dalam pakatan mempunyai agenda yang tersirat dan mesti ditangani persetujuan isu teras sebelum tercapai transaksi keberadaan dalam pakatan itu).

Dalam era teknologi bermaklumat memanfaatkan komunikasi menerusi alat digital untuk dasar “crowd source”, memastikan kebertanggungjawaban dan keutamaan kepada pangkalan ahlinya, bukan mengutama golongan elit. supaya isu-isu berbangkit segera ditangani dan diselesaikan.

Kesimpulan: Hantu Reformasi Terus Menghantui PKR

Sejarah menunjukkan bahawa gerakan yang mengutuk KKN berakhir dengan retorik kerana sering meniru amalannya apabila institusi dan aparatusnya tetap tidak direformasi dan kewaspadaan awam(public awareness) berkurangan.

Reformasi Mahasiswa Indonesia runtuh di bawah godaan dinasti; PT Brazil memilih kuasa berbanding kesucian; M5S Itali memperdagangkan cita-cita untuk pengaruh.

Bagi PKR, legasi Anwar dan perjuangan masa depan demokrasi Malaysia bergantung kepada sama ada parti itu menganggap KKN sebagai ancaman “existential” dan bukannya slogan dan bukan juga retorik kempen.

Pilihannya sangat jelas samada memimpin revolusi struktur atau menyertai barisan reformis yang berubah menjadi hipokrit. Jarum jam terus berdetik dan tiba masanya bom jangka itu pasti meledak!


Tahanazar al-Qadree adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.