Perjumpaan khas UMNO bersama Presiden, PM pada Selasa

Politics
1 Oct 2022 • 6:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Surat jemputan tular yang ditandatangani oleh Ahmad pada Jumaat.

SHAH ALAM - Satu Perjumpaan Khas UMNO bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan berlangsung pada Selasa depan.

Berdasarkan satu surat yang tular, perjumpaan itu melibatkan semua Ketua UMNO Bahagian dan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian.

Dalam surat tersebut yang ditandatangi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, majlis pertemuan itu diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada jam 2 petang.

“Adalah dimaklumkan bahawa satu perjumpaan khas bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan diadakan pada 4 Oktober 2022 (Selasa), bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, WTC.

“Sehubungan dengan itu, semua Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian adalah dijemput hadir ke majlis tersebut,” katanya dalam satu surat jemputan pada Jumaat.

Surat tersebut tular baru-baru ini kerana tidak ada sebarang pengesahan daripada mana-mana pihak parti UMNO.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika dihubungi oleh Sinar Harian berkata bahawa beliau tidak menerima mana-mana surat berhubung jemputan tersebut.