Perkahwinan jarak jauh jejas kesejahteraan pekerja?

LocalHealth & Fitness
6 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perkahwinan jarak jauh jejas kesejahteraan pekerja?

KECEKAPAN dan keteguhan sesebuah negara banyak bergantung kepada kekuatan jentera perkhidmatan awam. 

Penjawat awam menjadi tulang belakang pentadbiran yang memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

Namun, pendedahan terbaharu hasil kajian MyPsych mencetuskan kebimbangan apabila lebih 40,000 penjawat awam di Malaysia dilaporkan berada dalam zon berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental. 

Pelbagai faktor sering dikaitkan dengan keadaan ini, termasuk beban tugas yang berat, sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ketat serta tekanan persekitaran kerja.

Dalam membincangkan isu ini, terdapat satu lagi faktor yang wajar diberi perhatian, iaitu perkahwinan jarak jauh (PJJ). Walaupun tidak semestinya menjadi punca tunggal tekanan emosi, namun keadaan tersebut boleh menambah beban kepada penjawat awam yang terpaksa berjauhan daripada pasangan dan keluarga untuk tempoh yang panjang.

Perkhidmatan awam sememangnya menuntut kesediaan anggota untuk ditempatkan di mana-mana lokasi mengikut keperluan organisasi. Namun, tuntutan tersebut kadangkala menguji ketahanan rumah tangga apabila suami dan isteri terpaksa tinggal di negeri atau daerah berbeza. 

Situasi ini lazim berlaku dalam sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pentadbiran awam.

Bagi pasangan yang mempunyai anak, pihak yang tinggal bersama keluarga terpaksa menguruskan hampir keseluruhan keperluan harian.

Urusan persekolahan, kesihatan, keselamatan dan hal rumah tangga perlu ditangani seorang diri tanpa sokongan fizikal pasangan. Keadaan ini boleh mencetuskan keletihan berpanjangan yang akhirnya menjejaskan emosi dan kesihatan mental.

Pada masa sama, pasangan yang tinggal sendirian di tempat bertugas juga berdepan kesunyian dan keterasingan. 

Jarak yang jauh mengehadkan masa bersama keluarga serta mengurangkan peluang untuk berkongsi tekanan, menyelesaikan masalah dan memberi sokongan emosi secara langsung.

Beban kewangan turut menambahkan tekanan. Perjalanan pulang setiap hujung minggu atau secara berkala memerlukan kos tiket penerbangan, bahan api, tol dan penyelenggaraan kenderaan. 

Perbelanjaan berganda ini boleh menjejaskan simpanan keluarga serta mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga. Tekanan tersebut akhirnya boleh mengganggu tumpuan ketika menjalankan tugas.

Kesukaran mendapatkan pertukaran mengikut pasangan juga menjadi cabaran besar. Kekosongan jawatan dan keperluan perkhidmatan sering membataskan peluang untuk menyatukan kembali keluarga. 

Tempoh menunggu yang panjang, malah sehingga bertahun-tahun, boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak berdaya.

Kesan keadaan ini tidak terhenti pada kehidupan peribadi. Tekanan berpanjangan boleh menjejaskan produktiviti, meningkatkan kecenderungan mengambil cuti sakit dan mengurangkan keupayaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Justeru, isu PJJ dalam kalangan penjawat awam perlu dilihat sebagai persoalan kebajikan dan pengurusan sumber manusia yang lebih luas. 

Program kesejahteraan seperti Bekerja Dengan Gembira serta perkhidmatan kaunseling psikologi wajar diteruskan. Pada masa sama, kerajaan perlu meneliti dasar pertukaran pasangan dan perancangan penempatan secara lebih fleksibel serta berasaskan pertimbangan kemanusiaan.

Mengukuhkan perkhidmatan awam tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan mereka yang menggerakkannya. 

Usaha membantu keluarga yang terpisah kerana tuntutan tugas bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan emosi, malah mampu melahirkan penjawat awam yang lebih tenang, produktif dan berdedikasi dalam memberikan khidmat kepada negara.-UTUSAN

DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

The post Perkahwinan jarak jauh jejas kesejahteraan pekerja? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved