SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas penganjuran Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 ke daerah lain bagi terus memperkasa seni warisan di Selangor.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata rancangan itu susulan sambutan menggalakkan daripada penganjuran sulung, dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung setakat semalam.
“Kita akan ke daerah lain. Sebagai contoh festival makanan yang sebelum ini diadakan tiga tahun berturut-turut di Bagan Lalang, Sepang, tahun ini akan diadakan di Kuala Selangor.

“Ini supaya pelancong pun boleh datang singgah melawat ke daerah lain di Selangor dan merasai kemeriahan semua budaya,” katanya ketika ditemui di Dataran Kemerdekaan di sini, semalam.
Terdahulu beliau menghadiri pelancaran Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Borhan berhasrat memperkenalkan cogan kata rasmi ‘Seni Budaya Cahaya Negeri’ bawah portfolio kebudayaan Selangor.
Menurutnya, cadangan yang membawa maksud kepentingan seni kepada sesebuah negeri itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh terdekat.
“Moto itu bermaksud, tanpa seni tidak ada makna sesebuah negeri itu, seolah-olah tidak bercahaya. Saya akan bawa ke MMKN untuk jadikan moto rasmi bawah kebudayaan negeri,” katanya.
Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 yang diadakan bermula 23 Januari hingga hari ini menampilkan pelbagai pengisian antaranya persembahan kebudayaan, jualan kraftangan dan reruai makanan di pasar Saloma.
Karnival julung kali itu turut diserikan dengan pertandingan permainan tradisional seperti gasing pangkah, tali getah, dam gergasi, congkak, batu seremban dan lastik.





The post Perkampungan budaya diperluas ke daerah lain, perkenal cogan kata seni negeri appeared first on Selangorkini.


