
Kerajaan negeri Selangor perlu memberi perhatian serius terhadap usaha memperkasa sektor agro pelancongan dan melonggarkan beberapa dasar berkaitan penggunaan tanah pertanian bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, isu tersebut antara perkara yang paling kerap dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri kerana mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan penduduk di kawasan DUN Permatang.

Selain membawa isu itu ke Dewan Negeri, beliau turut mengambil pelbagai langkah susulan bagi memastikan setiap masalah dibangkitkan mendapat penyelesaian.
Nurul Syazwani berkata, antara kejayaan terbesar sepanjang hampir dua tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat adalah menyelesaikan projek perumahan terbengkalai yang telah berlarutan kira-kira lapan tahun.

Projek itu, katanya, melibatkan lebih 400 unit rumah di Taman Sungai Indah dan Taman Mutiara dan berjaya diselesaikan hasil perbincangan bersama semua pihak berkepentingan melalui beberapa siri town hall dan perundingan.
“Alhamdulillah, akhirnya projek itu dapat diselesaikan dan pembeli rumah mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, usaha itu turut mendapat pengiktirafan daripada barisan Exco kerajaan negeri serta Menteri Besar kerana isu tersebut dianggap antara yang paling sukar untuk diselesaikan.
Selain isu perumahan, Nurul Syazwani berkata, antara keluhan utama penduduk adalah kesukaran pengusaha homestay mendapatkan lesen operasi.
Katanya, Permatang mempunyai banyak homestay yang dibangunkan di kawasan sawah padi dan berpotensi menjadi produk agro pelancongan. Namun, status tanah sebagai tanah pertanian menyebabkan permohonan lesen sukar diluluskan.
“Ini menghalang penduduk daripada mengembangkan perniagaan walaupun mempunyai potensi menarik pelancong. Kita minta kerajaan negeri meneliti semula enakmen serta peraturan sedia ada supaya lebih fleksibel terhadap pembangunan agro pelancongan.
“Kelonggaran itu penting bagi membolehkan pengusaha menjalankan perniagaan secara sah tanpa menjejaskan fungsi asal tanah pertanian,” katanya.
Menurutnya, walaupun Kanun Tanah Negara membenarkan sebahagian kecil tanah digunakan bagi tujuan tertentu, pelaksanaan di peringkat negeri masih menjadi kekangan.
Katanya, beliau sering membuat perbandingan dengan Sekinchan yang berjaya membangunkan industri agro pelancongan berasaskan sawah.
“Kalau Sekinchan boleh berjaya membangunkan produk pelancongan seperti itu, saya percaya Permatang juga mempunyai potensi yang sama,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini isu berkenaan masih belum menunjukkan perkembangan yang memuaskan walaupun telah beberapa kali dibangkitkan.
Dalam pada itu, Nurul Syazwani turut membangkitkan kebimbangan pesawah mengenai isu subsidi diesel.
Katanya, pesawah tidak menikmati kemudahan subsidi diesel sebagaimana dinikmati golongan nelayan.
Beliau menjelaskan, kebanyakan operasi penanaman padi bergantung kepada penggunaan diesel, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran.
Menurutnya, isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Selangor telah menyalurkan bantuan sekali beri sebanyak RM500 kepada setiap pesawah sebagai langkah meringankan beban mereka. Beliau mengakui bantuan itu sedikit sebanyak membantu. Namun masih belum mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi pesawah secara menyeluruh.
Dalam aspek pembangunan kawasan, Nurul Syazwani berkata, pelbagai penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya turut dilaksanakan mengikut keperluan penduduk.
Katanya, kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Program Ziarah Kasih, kata beliau, dilaksanakan secara konsisten dengan sasaran sekurang-kurangnya lima rumah dikunjungi setiap minggu. Kebanyakan penerima bantuan terdiri daripada warga emas yang tinggal bersendirian selepas anak-anak berhijrah ke bandar untuk bekerja.
“Selain warga emas, bantuan turut disalurkan kepada pesakit kronik, mangsa kemalangan serta individu yang memerlukan perhatian segera,” katanya.

Dalam usaha memperkasakan belia, beliau berkata, pelbagai program sukan diadakan secara berkala termasuk program larian yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat.
Beliau turut memberi perhatian kepada bidang pendidikan dengan menganjurkan majlis penghargaan kepada lebih 100 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun dan turut membantu pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sebagai galakan meneruskan pendidikan.
Mengenai harapan terhadap kerajaan negeri, Nurul Syazwani berkata, tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperluaskan peluang perniagaan dan pekerjaan di Permatang.
Katanya, status kebanyakan tanah sebagai tanah pertanian mengehadkan pembangunan aktiviti ekonomi termasuk pembukaan premis perniagaan.
Sedangkan, katanya, lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.
Pada masa sama, beliau yakin sektor agro pelancongan berasaskan sawah, sungai, glamping, kawasan kunang-kunang dan lokasi berhampiran Sky Mirror mampu menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi Permatang sekiranya mendapat sokongan daripada kerajaan negeri. –UTUSAN
The post Perkasa agro pelancongan, luaskan peluang ekonomi di DUN Permatang appeared first on Utusan Malaysia.





