Perkasa keusahawanan, pelaburan visi calon di Pekan

Politics
9 Nov 2022 • 3:57 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PEKAN: Memperluaskan bidang keusahawanan dan pelaburan di Pekan merupakan antara visi beberapa calon yang pertama kali bertanding di pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di daerah berkenaan.

Biarpun berbeza haluan politik, calon yang ditemui meletakkan matlamat sama untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah itu yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Peramu Jaya, Pulau Manis, Bebar dan Chini.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Peramu Jaya Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib (gambar), 44, berkata Pekan masih mempunyai tanah yang boleh dibangunkan dan mengambil kira kedudukannya sebagai hab automotif, beliau berhasrat meningkatkan pelaburan di kawasan itu terutamanya yang melibatkan teknologi hijau.

“Saya juga berminat dalam bidang ‘technology start-ups’ sebab Pahang tidak dikenali dalam bidang berkenaan. Kalau kita boleh menggalakkan syarikat kecil menjadi syarikat berteraskan teknologi, berkemungkinan dalam jangka masa panjang mereka dapat mengembangkan sayap sebagai syarikat gergasi.

“Itulah pembaharuan yang saya harap dapat lakukan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di sini,“ katanya yang juga anak sulung kepada penyandang Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selaku Ketua Pemuda Umno Pekan, beliau berkata aspek pembangunan anak muda sangat dekat di hatinya dan berharap dapat mewujudkan program kemahiran bagi membantu usahawan muda dalam kalangan penduduk tempatan.

Pada PRU15, Mohamad Nizar berdepan tiga lagi calon iaitu daripada Perikatan Nasional (PN-Bersatu) Abu Talib Muhammad, wakil Pakatan Harapan (PH-Amanah) Tugimon Abdul Hamid, serta calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Sementara itu, calon muda Muhammad Khairil Khalid, 33, yang juga pertama kali diturunkan PH-DAP di DUN Pulau Manis memaklumkan tumpuannya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air yang dilihat masih mengganggu penduduk setempat.

Siswazah undang-undang itu berkata masalah tersebut antara perkara yang diutarakan penduduk kepadanya semasa berkempen dan mahu perkara itu diselesaikan kerana kedudukan kawasan itu yang hanya kira-kira 30 minit jarak perjalanan dari bandar Kuantan.

Pada PRU15, Muhammad Khairil yang merupakan anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu berdepan dua pencabar iaitu Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Umno) yang juga penyandang kerusi tersebut serta dan Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan (PN-PAS).

Sementara itu, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak (Gerakan Tanah Air-Pejuang), 60, yang bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan turut menyatakan visinya untuk mengembangkan bidang perusahaan mikro, kecil dan sederhana memandangkan beliau mempunyai pengalaman dalam bidang ekonomi dan pentadbiran.

“Saya mahu bangunkan bidang keusahawanan di Parlimen Pekan bagi memartabatkan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sekali gus membolehkan masyarakat memperoleh pendapatan lebih baik. Walaupun Pejuang masih baharu tetapi saya mempunyai kenalan di sekitar Pekan,” katanya.

Seorang lagi calon Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, 43, yang mewakili PN-PAS buat kali pertama di Parlimen Pekan, mahu warga daerah itu kekal berada di situ tanpa perlu mencari rezeki di luar, yang dilihat boleh dilakukan dengan meningkatkan peluang pekerjaan serta taraf pendidikan.

“Saya nampak banyak orang Pekan duduk (tinggal) di luar...sebab itu visi saya untuk membangunkan Pekan kerana saya mahu mereka kekal di sini. Contohnya di Kampung Palon Hinai, kawasan yang sesuai untuk bangunkan kolej Islam supaya kita ada semua daripada kemudahan, pendidikan dan kekeluargaan,” katanya.

Selain Mohd Fadhil dan Mohammad Radhi, tiga calon lain yang bertanding di Parlimen Pekan pada PRU15 adalah Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Umno), Mohd Naim Zainal Abidin (PH-PKR), serta Tengku Zainul Hisham (Bebas).

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen Pekan mempunyai keseluruhan 119,443 pengundi dengan pecahan pengundi di DUN Pulau Manis seramai 30,113 orang, Peramu Jaya (41,915), Bebar (21,294) dan Chini (26,121).

SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian PRU15 dan pengundian awal pada 15 Nov. -Bernama