PERKESO Lanjut JKIP, Tawar 55,000 Peluang Kerja

30 Jul 2022 • 10:10 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
JKIP adalah program di bawah Ekspo Kerjaya Jamin Keluarga Malaysia yang sepatutnya berakhir 30 Jun lalu namun kini dilanjutkan - Gambar dari Facebook HRD Corp

KUALA LUMPUR - Lebih ramai golongan rentan berpeluang mendapat pekerjaan apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) yang menyediakan 55,000 peluang kerjaya untuk kumpulan itu, sehingga hujung tahun ini.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, pihaknya yakin usaha berkenaan dapat memenuhi mandat kerajaan melalui peluang pekerjaan ditawarkan itu.

“JKIP adalah program di bawah Ekspo Kerjaya Jamin Keluarga Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang sepatutnya tamat pada 30 Jun lalu, tetapi kini dilanjutkan.

“Lanjutan program ini akan memberi tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja dari sektor pelancongan, menggantikan pekerja asing, iaitu program Malaysianization, orang kurang upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sasaran JKIP adalah menyokong matlamat program di bawah Bajet 2022 untuk mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini.

Katanya, daripada peruntukan sedia ada untuk JKIP, iaitu RM2 bilion, sebanyak RM475 juta akan disalurkan PERKESO sebagai insentif kepada majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan dan me­lakukan pengambilan seramai 55,000 pekerja terbabit.

Terdahulu, program tersebut sudah mencipta kejayaan apabila seramai 1,712 individu mendapat peluang pekerjaan dan 10,698 pencari kerja mampu ke peringkat temu duga kedua. - Getaran, 30 Julai 2022.