
ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka telah melunaskan tuntutan pelbagai faedah kepada 18,327 pekerja dengan bayaran lebih RM28.2 juta setakat November lepas.
Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata jumlah itu melibatkan hilang upaya sementara sebanyak RM16.7 juta membabitkan 16,404 kes manakala hilang upaya kekal melibatkan sebanyak 512 kes dengan jumlah RM8.96 juta.
“Dalam tempoh sama, Perkeso turut membiayai pencen faedah orang tanggungan sebanyak RM61,906 melibatkan 27 kes selain pencen ilat RM412,637 (182 kes), pencen penakat RM573,401 (408 kes) dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM1.5 juta kepada 794 kes.
“Justeru kita berharap semua pekerja termasuk yang bekerja sendiri dan pekerja ekonomi sementara (gig) supaya mencarum dengan Perkeso bagi membolehkan keselamatan dan kebajikan pekerja sentiasa terjamin,“ katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Sungga, Tebong di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan faedah pekerja orang berinsurans (OB) kepada Muhammad Haikal Mohamad Taha, 21, menerusi kunjungan Skuad Prihatin Perkeso yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.
Muhammad Haikal yang hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya pada 15 Mac tahun lepas menerima bayaran faedah hilang upaya kekal berjumlah RM64,745 yang dibayar terus bagi bayaran pertama dan bayaran bulanan berjumlah RM1,430.
Selain itu, ibu bapa yang juga penjaganya menerima elaun layanan sentiasa (ELS) berserta barangan pemulihan seperti lampin pakai buang dan susu untuk kegunaan harian.
Ibu Muhammad Haikal, Faridah Yusop, 50, berkata bantuan itu dapat mengurangkan beban belanja bulanan mereka sekeluarga yang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk membeli susu untuk anak ketiganya itu.
“Alhamdulillah sumbangan ini amat membantu kerana kos susu khas agak mahal selain terpaksa sewa ambulans setiap kali menjalani rawatan fisioterapi di Tampin, Negeri Sembilan. Suami hanya bekerja kampung,” katanya dan menambah mereka sekeluarga turut menerima bantuan daripada ahli keluarga.
Dalam pada itu, Abd Razak berharap suri rumah di negeri ini mengambil peluang untuk mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang berkuat kuasa pada 1 Dis lepas yang diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.
Beliau berkata dalam tempoh dua minggu skim itu diperkenalkan, terdapat lebih 80 suri rumah telah mencarum skim itu yang bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan itu daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
“Mereka hanya perlu membayar RM120 setahun bagi skim ini dan kita berharap lebih ramai suri rumah dan suami di negeri ini dapat melakukan caruman untuk isteri mereka yang tidak bekerja dengan SKSSR bagi suri rumah yang belum mencapai umur 55 tahun,“ katanya.-Bernama

