
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur perkhidmatan kurier, penghantaran barang dan p-hailing.
Ia sebahagian usaha pihak berkuasa itu untuk membanteras penyeludupan dadah dan barangan terlarang lain menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, di bawah cadangan itu, penghantaran dan pengambilan barang hanya dilakukan di lokasi tertentu yang mempunyai sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Langkah itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan penghantar dan pemilik barangan dengan lebih mudah sekiranya ia melibatkan penyeludupan khususnya dadah.
“Sekarang sindiket menggunakan kelompangan dalam ekosistem perkhidmatan kurier dan p-hailing dalam penhantaran bahan-bahan terlarang seperti dadah sama ada secara kecil-kecilan atau dalam amaun yang besar.
“Mereka guna identiti palsu atau identiti orang lain termasuk alamat orang lain atau premis lain.
“(Jadi, barangan) tidak boleh (diletak) sebarangan tempat di kaki lima dan sebagainya. Mereka perlu mempunyai stesen tertentu yang ada CCTV supaya dirakam siapa yang menghantar.
“Ini penting dari segi identiti individu yang menggunakan perkhidmatan itu dan visual orang yang menghantar dirakam untuk tujuan keselamatan serta mengelakkan platform ini disalahgunakan untuk pengedaran dadah,” katanya dalam siaran podcast bersama Utusan Malaysia, Jumaat lalu.
Hussein berkata, struktur sindiket kini semakin kompleks berikutan perubahan teknologi, khususnya dari segi kaedah komunikasi dan transaksi kewangan.
Menurut beliau, jika dahulu anggota sindiket lazimnya membawa wang tunai selepas menjalankan urusan, kebanyakan tangkapan dan rampasan ketika ini tidak lagi melibatkan wang tunai.
“Komunikasi antara sindiket berlaku dengan begitu teliti dan licik. Orang yang membawa dadah tidak tahu siapa yang menyuruh mereka membawa barang itu tetapi mereka mendapat maklumat dan habuan.
“Mereka berperingkat-peringkat. Di peringkat paling bawah ialah transporter yang hanya membawa dadah daripada titik A ke titik B. Apa yang dia tahu, dia perlu membawa kotak atau beberapa kotak dan selepas selesai tugas, dia dibayar,” katanya
Beliau berkata, kemajuan teknologi menyebabkan komunikasi antara anggota sindiket semakin sukar dikesan apabila mereka menggunakan pelbagai platform seperti WeChat dan Facebook untuk berhubung, termasuk bagi tujuan promosi dan mencari mangsa.
Menurutnya, antara taktik sindiket ialah menawarkan pekerjaan palsu yang akhirnya menjadikan individu terbabit sebagai keldai dadah.
“Mereka mengiklankan pekerjaan. Itu semua pekerjaan palsu yang akan berakhir dengan individu itu menjadi mangsa sebagai keldai dadah.
“Sama ada mereka diberikan pakej pelancongan ataupun pekerjaan untuk membawa dadah ke negara lain,” jelasnya.
Hussein mengakui, perubahan teknologi menyukarkan pihak penguat kuasa.
“Walau bagaimanapun, pihak polis juga meningkatkan keupayaan dari segi teknologi untuk mengesan sebarang perhubungan ataupun pengaliran wang dalam bentuk elektronik,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, PDRM tidak pernah berhenti memburu sindiket malah tindakan tegas akan terus diambil terhadap kumpulan yang masih berdegil menjalankan kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja menggunakan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 malah turut menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap ketua serta anggota sindiket yang terlibat.
“Amaran saya kepada sindiket ini, sama ada mereka berhenti daripada terlibat dalam pengedaran dadah atau berdepan dengan tindakan undang-undang daripada PDRM.
“Hanya masa akan menentukan sama ada sekarang atau kemudian. Yang pasti, PDRM akan sampai kepada mereka dan tindakan undang-undang sama ada di bawah Akta Dadah Berbahaya ataupun SOSMA akan diambil tanpa sebarang kompromi.
“Pandai-pandai tupai melompat, satu hari dipastikan akan jatuh ke tanah. PDRM tidak pernah tidur ataupun leka dalam menghadapi ancaman dadah ini,” katanya. – UTUSAN
The post Perketat prosedur perkhidmatan kurier, p-hailing appeared first on Utusan Malaysia.



