Perkhidmatan Aerotrain disambung semula selepas gangguan sementara - MAHB

LocalTravel
4 Jul 2025 • 6:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perkhidmatan Aerotrain KLIA1 telah digantung sementara pada jam 11 pagi Jumaat susulan takungan air dalam terowong yang disebabkan oleh hujan lebat.

SEPANG - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan perkhidmatan Aerotrain KLIA di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) telah digantung sementara pada jam 11 pagi tadi susulan takungan air dalam terowong yang disebabkan oleh hujan lebat.

MAHB dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan sistem saliran terowong berkenaan dilengkapi dengan pam yang direka bentuk untuk mengendalikan kemasukan air semasa keadaan cuaca buruk.

"Namun begitu, sebuah daripada pam saliran mengalami kerosakan teknikal ketika hujan lebat hari ini, sekali gus menghalang pengaliran air secara automatik.

"Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sehingga air dikeluarkan secara manual dan landasan disahkan selamat untuk digunakan,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan Aerotrain disambung semula pada jam 12.15 tengah hari selepas mendapat kelulusan penuh daripada pasukan teknikal dan keselamatan.

MAHB memaklumkan perkhidmatan pengangkutan ke terminal satelit tidak terjejas sepanjang insiden berkenaan dengan para penumpang dibawa menggunakan perkhidmatan bas.

"Kami sedang membaiki sistem pam bagi memastikan prestasi optimum sekiranya berlaku cuaca buruk pada masa hadapan. Pasukan teknikal kami terus memantau rapi sistem Aerotrain pada peringkat awal operasi ini bagi memastikan sebarang penyesuaian dapat segera dilaksanakan,” katanya.

Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya pada Selasa selepas melalui kerja naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi MAHB berjumlah RM742 juta yang bertujuan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan ulung serantau pada masa hadapan.

Menjadi ciri ikonik KLIA sejak dibuka pada 1998, Aerotrain kini menampilkan set tren Alstom Innovia APM 300R. Setiap tren tiga gerabak itu mampu membawa sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved