Perkhidmatan Aerotrain KLIA Tergendala Lagi Sehingga Penumpang Terpaksa Jalan Kaki

LocalCars
28 Oct 2025 • 11:36 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kembali beroperasi pada 1 Julai lalu. Walaupun kereta api baharu ini baru sahaja beroperasi, ia telah mengalami beberapa insiden perkhidmatan tergendala yang menimbulkan kemarahan penumpang. Dalam insiden pagi ini, Aerotrain tergendala antara terminal satelit KLIA Terminal 1 menyebabkan penumpang terkandas sehingga terpaksa berjalan kaki untuk kembali ke kawasan selamat.

image is not available
Gambar oleh Fahmi Yumi @kaiyumi42

Dalam hantaran oleh Fahmi Yumi @kaiyumi42 di X, penumpang dilihat mengangkat bagasi dalam keadaan gelap dan perlu berjalan di atas laluan konkrit antara dua trek tren. Ini bukan sahaja membahayakan keselamatan tetapi juga menyukarkan penumpang dengan anak-anak kecil serta warga emas.

Aerotrain dihentikan operasi sejak Mac 2023 kerana pelbagai isu kerosakan memandangkan ia sudah terlalu usang. Ia memulakan operasi pada tahun 1998 dengan ia menyambungkan terminal utama dengan terminal satelit A. Kos penaiktarafan Aerotain menelan belanja RM456 juta. Sejak dilancarkan semula ia sudah tergendala 20 kali.

— Fahmi Yumi image is not available (@kaiyumi42) October 28, 2025

Dalam sejarah operasi selama 25 tahun, berlaku beberapa insiden kerosakan yang menyebabkan operasi dihentikan seketika. Sejak operasi dihentikan untuk pergi ke terminal satelit A, penumpang biasa perlu menaiki bas sementara perkhidmatan kenderaan mewah ditawarkan untuk penumpang kelas perniagaan.

Malaysia Airport Holdings Berhad mengumumkan tahun lalu Aerotrain tersebut akan siap digantikan pada 31 Januari. Projek ini membabitkan MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Alstom Transport Systems Sdn Bhd dan usahasama IJM Construction Sdn Bhd dengan Pestech Technology Sdn Bhd.