Jika anda seorang pembaca buku yang tegar, anda pasti tahu mengenai Rakuten Kobo, jenama pengeluar peranti pembaca buku digital dan juga pemilik platform penjualan buku secara digital hari ini telah mengumumkan bahawa perkhidmatan langganan buku digital dan buku audio mereka, Kobo Plus kini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan dengan harga permulaan RM27 sebulan.
Langganan ini boleh diakses melalui aplikasi Kobo Books di platform Apple App Store dan juga Google Play Store, dan sekiranya anda memiliki sebuah peranti pembaca buku digital Rakuten Kobo, seperti Kobo Libra Colour yang pernah kami ulaskan sebelum ini.

Program langganan Kobo Plus terbahagi kepada tiga, iaitu Kobo Plus Read, Kobo Plus Listen dan Kobo Plus Read and Listen. Kobo Plus Read memberi anda akses kepada senarai penuh buku-buku digital dalam platform Kobo, manakala Kobo Plus Listen memberi anda akses kepada buku-buku audio yang terkandung dalam platform tersebut juga.
Langganan Kobo Plus Read and Listen yang bernilai RM35 juga sangat berbaloi jika anda seorang yang mahukan akses penuh kepada kedua-dua cara menelaah kandungan ini, Langganan Kobo Plus memberi pengguna akses kepada 2 juta buku digital dan 300 ribu buku audio dari penulis dan penerbit buku dari seluruh dunia.
Jika anda mahu mencuba langganan ini terlebih dahulu, CEO Rakuten Kobo, Michael Tamblyn juga mengatakan bahawa Kobo Plus hadir dengan tempoh percubaan percuma selama 14 hari sebelum mereka perlu membayar untuk langganan tersebut.
