Perkhidmatan LRT Kelana Jaya Kembali Pulih

30 Nov 2022 • 7:07 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rapid Rail memaklumkan kerja-kerja membaik pulih komponen yang rosak akibat disambar petir telah selesai dijalankan malam tadi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan teknikal petang semalam telah kembali pulih.

Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan dalam satu kenyataan malam tadi berkata kerja-kerja membaik pulih komponen yang rosak akibat disambar petir telah selesai dijalankan.

Menurut kenyataan itu setakat  pukul10 malam ini, semua operasi tren yang melalui stesen LRT Kerinchi kini beroperasi secara automatik dan normal di kedua-dua hala.

“Pasukan jurutera akan terus memantau kestabilan sistem di kawasan terlibat. Rapid Rail sekali lagi ingin memohon maaf kepada pengguna di atas kesulitan yang dihadapi,” menurut kenyataan itu.

Gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya berpunca daripada Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) yang aktif secara tiba-tiba selepas disambar petir di Stesen LRT Kerinchi petang tadi. 

Akibat daripada gangguan itu, semua tren yang melalui kawasan berkenaan terpaksa dipandu secara manual, mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform berlaku di beberapa stesen. - Bernama