Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 tamat Ahad ini

21 Oct 2022 • 3:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wan Junaidi - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan pada 11 November 2020 secara rasminya akan ditamatkan pada Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehubungan itu, pautan bagi permohonan mediasi di laman sesawang www.pmc.19.gov.my akan ditutup pada 11.59 malam, esok.

Beliau berkata, PMC-19 berperanan membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.

"PMC-19 berjaya membantu Keluarga Malaysia menyelesaikan pertikaian kontrak akibat pelaksanaan PKP dan penularan Covid-19 secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah. Penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan ini terbukti berkesan kerana lebih pantas, menjimatkan kos dan menawarkan penyelesaian menang-menang kepada masyarakat,” katanya.

Sepanjang penubuhan PMC-19, sebanyak 290 kes dirujuk ke pusat itu dan daripada jumlah itu, 79 kes diselesaikan dengan nilai pertikaian terkumpul berjumlah RM3.8 juta.

PMC-19 ditubuhkan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829).

Menurut Wan Junaidi, pengantaraan (mediasi) yang dilaksanakan di bawah PMC-19 adalah secara sukarela dan nilai pertikaian yang boleh dirujuk adalah tidak melebihi RM500,000 kecuali pertikaian berhubung kontrak pembinaan.

Beliau berkata, perkhidmatan pengantaraan percuma di bawah PMC-19 disokong mediator (pengantara) yang digerakkan oleh Majlis Peguam di Semenanjung Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) di Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) di Sarawak.

"Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan PMC-19, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang telah berkhidmat sepanjang penubuhan PMC-19 serta pengantara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang menjayakan inisiatif itu.

"Kerajaan menghargai semua pihak yang telah membantu pelaksanaan PMC-19 dan Keluarga Malaysia yang terus menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu pihak terkesan akibat pelaksanaan PKP di sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved