Perkhidmatan Shahrin Sahib sebagai NC UiTM berakhir

2 Nov 2026 • 11:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perkhidmatan Shahrin Sahib sebagai NC UiTM berakhir

PETALING JAYA: Naib Canselor ketujuh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@ Sahibuddin secara rasmi menamatkan tempoh perkhidmatan tiga tahun selepas dilantik ke jawatan itu sejak 2 November 2023.

Difahamkan, lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari di University of Sheffield, United Kingdom (UK) itu kini kembali ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau menerusi hantaran di Facebook, mengucapkan berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir atas kepercayaan dan peluang menerajui UiTM.

Anak kelahiran Kampung Sepinang dekat Segamat, Johor dan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat (AS) turut memohon maaf jika terdapat janji belum ditunaikan serta kekhilafan sepanjang beliau menerajui UiTM.

“Alhamdulillah, (saya) meneruskan legasi perjuangan terdahulu dengan penambahbaikan berterusan, kewangan, infrastruktur, penawaran akademik, penyelidikan serta tadbir urus. Sebagai Alumni universiti keramat ini, Insya-Allah UiTM tetap di hatiku!

“(Ia diteruskan) dengan sokongan Lembaga Pengarah Universiti, Majlis Eksekutif Universiti, Majlis Rektor, Majlis Dekan, Majlis Profesor, Majlis Pengurusan Kanan, persatuan, kesatuan dan kerjasama seluruh warga UiTM.

“Didoakan yang terbaik untuk UiTM meneruskan perjuangan ilmu demi masa depan anak bangsa, direzekikan kepimpinan terbaik, mengekalkan semangat kerjasama saling mempercayai, meletakkan kepentingan UiTM mendahului diri,” katanya hari ini.

Shahrin pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM pada 2013, sebelum menggalas amanah sebagai Naib Canselor UTeM bagi tempoh lima tahun mulai 2014.

Selain memiliki pengalaman kepimpinan di universiti awam, Shahrin juga pernah menerajui pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta, antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka.

Pada 2002, Shahrin memulakan kerjaya akademik di UTeM yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, dan memegang beberapa jawatan penting, termasuk Timbalan Dekan di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, pada 2006.

Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UTeM, Shahrin berkhidmat sebagai Pengarah Pengurusan Pembangunan Akademik di Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, pada 2012.

Beliau juga berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah UTeM dari 2021 hingga 2023.

Sebagai ahli akademik, beliau sudah menerbitkan lebih 140 kertas teknikal di persidangan dan jurnal antarabangsa, selain menyelia lebih 40 projek program sarjana muda dan pascasiswazah. – UTUSAN

The post Perkhidmatan Shahrin Sahib sebagai NC UiTM berakhir appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved