SHAH ALAM - Peranan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam mendepani cabaran industri global terus diperkukuhkan menerusi Seminar dan Taklimat Bootcamp (Latihan Intensif) sempena WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, program berkenaan berfungsi sebagai platform perkongsian strategik antara industri dan institusi pendidikan bagi memperkukuh pendekatan latihan berasaskan sistem sebenar.
Ujar beliau, inisiatif itu menghimpunkan pemain industri, institusi TVET dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasa pembangunan bakat kemahiran negara.
“Seminar dan latihan intensif itu memberi penekanan kepada kepentingan kemahiran Penyelenggaraan CNC sebagai salah satu kompetensi kritikal dalam industri pembuatan moden, khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan pendigitalan industri.
“Selain itu, sesi program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai keperluan sebenar industri, skop pertandingan WSMB dan pendekatan penyediaan peserta yang lebih berfokus kepada kemahiran penyelesaian masalah, diagnostik serta pemikiran sistematik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Program yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot itu dianjurkan oleh Advance Retro Solution Sdn Bhd (ARS) dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta kerjasama pelbagai pihak.
Menurut Mohd Aizuddin, ARS dan PRIHATIN turut memperkenalkan pembangunan fasiliti baharu di Meru, Klang sebagai hab latihan TVET bersepadu, merangkumi pelbagai teknologi berimpak tinggi.
“Antaranya termasuk pembuatan pintar, automasi, Internet Kebendaan (IoT), kenderaan elektrik (EV) dan sistem penyelenggaraan fasiliti termasuk lift serta eskalator.
“Fasiliti itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengalaman (experience center), malah menyediakan platform kepada institusi TVET untuk menjalankan latihan secara amali, pembangunan kurikulum, pemetaan silibus dan latihan tenaga pengajar selaras dengan keperluan industri semasa,” ujarnya.
Kata Mohd Aizuddin, hab tersebut turut berperanan dalam menyediakan program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) kepada tenaga kerja industri bagi memastikan mereka kekal relevan dalam persekitaran teknologi semasa.
“Fasiliti ini diiktiraf sebagai Pusat Akademi oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii).
“Ia juga melalui penglibatan aktif pihak industri bersama ARS seperti PRIHATIN, JPK, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), termasuk sokongan padu agensi kerajaan serta institusi pendidikan lain.
“Kerjasama ini diyakini mampu mempercepatkan pembangunan bakat masa hadapan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran global,” kata beliau.
