
KUALA LUMPUR: Memperkukuhkan perpaduan ummah dan menghindari sikap berpuak-puak serta mementingkan diri akibat perbezaan ideologi politik menjadi mesej penting sambutan Maal Hijrah tahun ini untuk dihayati semua umat Islam dan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menggesa umat Islam agar tidak membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Baginda sama sekali tidak bersetuju dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform masjid sebagai tempat untuk berpolitik sehingga menimbulkan kegawatan.
“Antara sebab perpecahan yang melanda masyarakat ialah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu, selain tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.
“Walhal pergaduhan itu ada yang berpunca daripada isu remeh-temeh... jadi, beta mengharapkan umat Islam terutamanya di negeri Kedah ini juga sentiasa hidup dalam bersatu padu dan menjaga kehormanian,” titah baginda pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin turut bertitah sebarang bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila umat Islam kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang kepada al-Quran.
Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan rakyat negeri itu supaya menghindari sikap berpuak-puak dan mementingkan diri akibat perbezaan politik yang boleh menyebabkan perpecahan antara masyarakat berbilang kaum yang hidup aman dan harmoni.
“Kita sedia maklum negeri Terengganu mempunyai masyarakat yang berbilang agama, kaum, budaya dan bangsa. Dengan kepelbagaian yang unik ini, beta menyeru seluruh rakyat jelata sama ada beragama Islam atau bukan Islam saling hormat-menghormati.
“Sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan fahaman politik kepartian tidak sepatutnya berlaku atau terus berlaku di bumi bertuah ini,“ titah baginda pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sultan Mizan turut mengingatkan rakyat di negeri itu supaya tidak menimbulkan isu sensitiviti yang menyentuh soal agama dan bangsa kerana ia akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023 disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani”. -Bernama


