Perlis umum cuti peristiwa esok sempena tahun baharu

LocalPolitics
31 Dec 2024 • 5:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shukri. Foto Bernama

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis pada Selasa mengisytiharkan esok, 1 Januari, sebagai cuti peristiwa sempena sambutan Tahun Baharu 2025 dan tarikh 1 Rejab yang penuh keberkatan.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pengisytiharan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Pemberian cuti peristiwa ini adalah satu bentuk penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan rakyat negeri ini yang menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2025 peringkat negeri Perlis yang diadakan pada malam ini, 31 Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut berharap pengumuman cuti itu dapat menggalakkan lebih ramai penduduk menghadiri karnival tersebut yang dijangka meriah dengan pelbagai program menarik.

Menurut beliau, pengisytiharan cuti itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369). - Bernama