SEREMBAN - Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menyentuh isu akidah dan kedudukan sahabat Nabi tanpa sandaran hujah yang sahih boleh disifatkan sebagai serius.
Ketua Penerangan Briged Negaraku Malaysia, Ross Razeq Rosli berkata, sebarang kenyataan berkaitan agama Islam perlu berlandaskan ilmu, dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis.
"Perlu ada adab dalam berhujah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta menjaga keharmonian masyarakat.
“Perkara melibatkan agama bukan ruang untuk kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham, apatah lagi jika ia menyentuh sahabat Nabi, ia perlu dijelaskan dengan hujah yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.
Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.
Dalam pada itu, Ross Razeq turut menegaskan bahawa kenyataan yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan perpecahan boleh tertakluk kepada peruntukan undang-undang negara.
Jelasnya, antara yang berkaitan ialah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menghina atau melukakan perasaan agama dengan niat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, Seksyen 298A Kanun Keseksaan turut memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana perbuatan atau kenyataan yang menyebabkan atau cuba menyebabkan perpecahan, kebencian atau ketidakharmonian atas dasar agama, yang boleh membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun.
"Selain itu Seksyen 505 Kanun Keseksaan, yang berkaitan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam atau mengganggu ketenteraman masyarakat," katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik, agar lebihberhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan agama demi menjaga perpaduan, keharmonian serta kestabilan negara.
