Perlu bentuk masyarakat bebas rasuah: SPRM

9 Jun 2023 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Pesuruhjaya Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Datuk Azam Baki berkata masyarakat perlu dibentuk untuk sentiasa mematuhi undang-undang, berdisiplin dan berintegriti bagi mencapai matlamat negara aman dan bebas rasuah.

“Kita lihat dari fasa mahasiswa mahasiswi di pusat pengajian, pihak SPRM perlu mendekati dan mendidik golongan ini bagi melahirkan masyarakat yang berintegriti supaya tidak mengalami kejutan budaya serta terdedah kepada kandungan negatif seperti mencari pendapatan lumayan dengan cara singkat.

Kesan pada akhirnya daripada tindakan mencari pendapatan lumayan dengan cara singkat adalah akan menyebabkan mereka terjebak dengan jenayah.

“Pastinya jenayah itu akan memungkinkan berlakunya implikasi perundangan,” katanya.

SPONSORED CONTENT Carlsberg Golf Classic 2023 Swings Back into Action: The Ultimate #NEXTGEN Golf Tournament Kuala Lumpur: – The Carlsberg Golf Classic (CGC) is back in June this year with the introduction of two digital golf legs to draw beginner golfers, who play off-course in indoor simulators, rebranding it as #NEXTGEN. Read more Beliau berkata demikian semasa hadir dalam majlis Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata UMS amat berbesar hati kerana menjadi tuan rumah bagi acara itu dan berpandangan bahawa mahasiswa mampu menjadi ejen bagi menyebarluaskan kefahaman tentang bahaya rasuah.

“Kita di UMS sangat mengalu-alukan apa-apa sahaja bentuk majlis ilmu yang bermanfaat kepada semua mahasiswa dan mahasiswi kita.

“Saya amat yakin, pertandingan debat seumpama ini mampu menjadi medan terbaik untuk kita mengulas isu penting yang sentiasa menjadi sebutan di negara kita.

“Selain itu juga, para pendebat yang merupakan mahasiswa juga mampu menjadi ejen bagi memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang keburukan dan musibah buruk akibat daripada rasuah,” katanya lagi.

Sebanyak 40 pasukan dari pelbagai institusi pendidikan terdiri daripada universiti awam, universiti swasta, institut pendidikan guru, institut pendidikan MARA dan politeknik mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung sejak 2 Jun lalu.

Pertandingan peringkat suku akhir dan separuh akhir dilangsungkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting dan peringkat akhir berlangsung secara fizikal di UMS.

Pertandingan itu merupakan anjuran bersama SPRM, UMS, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR).

Penganjuran tahun ini adalah penganjuran kali keempat dan telah dimulakan sejak 2019.

Pasukan debat yang dinobatkan sebagai juara tahun ini adalah pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000.

Naib johan pula jatuh kepada pasukan debat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000.

Pendebat terbaik keseluruhan telah dimenangi oleh Muhammad Iman Azhar dari UKM dan pendebat terbaik akhir pula dimenangi oleh Nur Izzah Nasuha Zulmuksah dari UTP.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Profesor Madya Dr Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTP Profesor Dr Noorhisham Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Noor, Pengarah DBP Sabah Aminah Awang Besar dan Pengarah SPRM Sabah Datuk Karunanithy Y. Subbiah.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.