Perlu hayati prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus

LocalEnvironment
8 Dec 2025 • 4:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah perlu segera menghayati prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG) bagi membangunkan infrastruktur yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa depan kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.

Beliau berkata negeri ini kini berada pada saat yang sangat penting dalam usaha mengimbangi aspirasi pembangunan dengan risiko perubahan iklim, tekanan terhadap tanah serta keperluan kepada tadbir urus yang telus.

“Tema tahun ini ‘Mentakrif Semula Infrastruktur Melalui ESG’ amat tepat pada masanya dan bersifat transformatif. ESG menyediakan pelan pembangunan yang baharu dan lebih holistik kepada kita.

“Ia memberi isyarat bahawa cara kita merancang, membina dan mengekalkan infrastruktur mesti berubah — bukan sahaja untuk memenuhi piawaian global malah bagi mencerminkan realiti, aspirasi dan keunikan Sabah,” katanya.

Safar berkata demikian dalam ucapan dasar sempena perasmian Kongres Juruukur Antarabangsa Sabah Ke-9 2025 pada Selasa.

Teks ucapanya dibacakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Datuk Sr Bernard Liew Chau Min.

Kongres anjuran Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) Cawangan Sabah itu menghimpunkan penceramah serta pakar dalam bidang tadbir urus tanah, penilaian, geomatik, ukur bahan dan pembangunan infrastruktur.

Turut hadir Pengerusi RISM Cawangan Sabah Sr Ts Allen Leslie Chin, Timbalan Pengerusi merangkap Pengerusi Penganjur Sr Melissa Felix Lee serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Sr Lifred Wong.

Sebagai langkah ke hadapan Safar berkata Sabah perlu mengguna pakai rangka kerja berasaskan ESG bagi memacu pembangunan infrastruktur mampan serta memposisikan negeri sebagai peneraju serantau.

Beliau berkata langkah itu termasuk mewujudkan sistem pentadbiran tanah yang telus dan dipacu digital, mengamalkan perancangan kos yang mengutamakan kelestarian sepanjang kitar hayat, mereformasi undang-undang agar seiring dengan perubahan teknologi serta mengintegrasikan kecerdasan buatan bagi memperkukuh tadbir urus.

Menurutnya perancangan infrastruktur di Sabah bermula dengan pentadbiran tanah yang berkait rapat dengan identiti, hak adat, penggunaan sumber secara mampan serta perancangan ekonomi jangka panjang.

Tadbir urus yang kukuh dalam pentadbiran tanah katanya memerlukan ketelusan dalam data tanah dan proses membuat keputusan.

“Sabah memerlukan rekod tanah yang lebih jelas dan mudah diakses serta sistem kadaster digital bagi mengurangkan kekaburan.

“Masa depan ialah pendaftaran tanah digital dengan pengesahan hak milik masa nyata, sempadan yang jelas dan jejak audit yang kalis gangguan,” katanya sambil menambah bahawa data satelit serta pengimejan dron perlu dijadikan amalan standard bagi mengurangkan pencerobohan, kelewatan dan pertikaian sempadan.

“Memperkukuh tadbir urus tanah bukan sekadar soal kecekapan — ia adalah tentang membina kepercayaan, yang menjadi teras ESG,” katanya lagi.