Perlu langkah segera pastikan keselamatan susulan penyebaran varian baharu Covid-19: Muhyiddin

Politics
1 Jan 2023 • 12:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera dalam memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu Covid-19 pada tahun ini, susulan ia telah dikesan di beberapa negara.

Menerusi perutusan tahun baharu 2023 yang dikongsikan melalui akaun Facebook rasminya, bekas perdana menteri itu turut merakam harapan agar kerajaan dapat melaksanakan langkah bagi meringankan beban kehidupan rakyat, terutamanya dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar tahun ini.

“Lebih 60 peratus penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah. Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan,“ kata Presiden Bersatu itu.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada perkara penting itu menerusi langkah yang mesti diputuskan Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh setiap agensi kerajaan berkaitan.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera,“ kata bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan rakyat mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan berhubung cara untuk menghindari jangkitan Covid-19 termasuk keperluan mengambil suntikan dos penggalak.-Bernama