WALAUPUN kerajaan tidak merancang pakej rangsangan buat masa ini, Malaysia perlu mempunyai pelan kontingensi jika konflik berlarutan.
Kenyataan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan bahawa tiada keperluan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi ketika ini mungkin tepat berdasarkan situasi semasa.
Namun dalam dunia yang semakin saling berkait, konflik antarabangsa jarang kekal sebagai isu luar negara semata-mata. Cepat atau lambat, kesannya boleh sampai kepada ekonomi domestik dan akhirnya dirasai oleh rakyat.
Ketegangan di Asia Barat kini membawa kesan yang lebih nyata dan bukannya sekadar liputan berita.
Kenaikan harga minyak dunia yang pantas memberi tekanan kepada bajet isi rumah, kos pengangkutan dan harga barangan keperluan meningkat, sekali gus menuntut rakyat membuat pilihan kewangan yang lebih bijak.
Setiap lonjakan harga bahan api bukan sekadar angka di media tetapi ia cerminan jumlah yang perlu dibayar rakyat ketika mengisi petrol dan membeli barang runcit.
Dalam konteks ini, kesedaran terhadap ketahanan kewangan dan perancangan perbelanjaan menjadi lebih kritikal daripada sebelumnya.
Bagi Malaysia, kesannya mungkin tidak berlaku secara mendadak. Negara masih mempunyai kelebihan tertentu kerana memiliki sektor tenaga yang kukuh melalui Petronas serta sistem subsidi bahan api yang membantu mengawal harga.
Namun langkah ini juga memerlukan komitmen fiskal yang besar apabila kerajaan perlu menanggung kos subsidi yang tinggi.
Jika harga minyak dunia terus meningkat, tekanan terhadap kewangan negara boleh bertambah dan memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan.
Sebarang gangguan kepada rantaian bekalan global juga berpotensi meningkatkan kos import dan menjejaskan harga barang keperluan.
Situasi ini menunjukkan bahawa konflik geopolitik bukan sekadar isu diplomatik atau ketenteraan. Ia mempunyai implikasi langsung kepada ekonomi global dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, Malaysia perlu bersedia dengan pelan jangka sederhana dan panjang bagi menghadapi ketidaktentuan dunia yang semakin kompleks.
