
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy mencadangkan pelaksanaan operasi pembenihan awan di Pulau Sebatik susulan krisis bekalan air yang semakin meruncing.
Beliau berkata paras air empangan kini telah menurun ke tahap membimbangkan iaitu hanya sekitar 0.9 meter sekali gus memaksa usaha kecemasan dipergiat bagi menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk.
“Pihak berkuasa kini berdepan tekanan untuk memastikan bekalan air mencukupi berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan dengan kadar hujan yang sangat rendah tahun ini.
“Takungan di Empangan Air Wallace Bay (EAWB) bergantung sepenuhnya kepada hujan.
“Oleh itu kerja mendalamkan empangan amat mendesak namun kita juga maklum kosnya tinggi iaitu dianggarkan sekitar RM40 juta.
“Sehubungan itu saya mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan pelaksanaan pembenihan awan di kawasan Pulau Sebatik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke beberapa kawasan penempatan di Sebatik pada Sabtu bagi menilai situasi semasa termasuk keberkesanan 30 telaga tiub yang dibina sejak 2024 serta status terkini EAWB.
Pejabat Parlimen Kalabakan turut mengagihkan sebanyak 48,000 botol air mineral sebagai bantuan kecemasan sementara menunggu pelaksanaan projek mendalamkan empangan.
“Buat masa ini keadaan masih terkawal hasil langkah seperti agihan air percuma daripada sumber alternatif termasuk telaga tiub yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 liter sejam selain bekalan utama dari EAWB dan telaga kampung.
“Tanpa catuan, bekalan air di pulau ini dijangka hanya mampu bertahan kira-kira tujuh hari sebelum kehabisan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keadaan kritikal di EAWB yang diuruskan Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) berpunca daripada mendapan lumpur dan kelodak yang telah mengurangkan kedalaman empangan daripada 17 meter kepada hanya lima meter.
Menurutnya pemantauan juga mendapati sebahagian daripada 30 telaga tiub yang dibina pada 2024 kini rosak dan memerlukan penyelenggaraan bagi memastikan fungsinya sebagai sumber air alternatif.
“Kualiti air di beberapa kawasan juga kurang memuaskan dan berbau masin khususnya daripada telaga yang digali penduduk. Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Dalam masa sama Jans telah melaksanakan jadual catuan air serta menggerakkan lori tangki kerajaan dan swasta selain memasang dua Loji Rawatan Air Bergerak (PWPP) di Kampung Sungai Laba dan Kampung Bergosong yang masing-masing mampu menghasilkan 1,000 liter sejam.
Bagi penyelesaian jangka panjang projek mendalamkan empangan dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos RM40 juta.
“Kami juga telah memohon pembinaan kolam takungan berhampiran Loji Rawatan Air Pulau Sebatik yang kini masih menunggu kelulusan,” katanya.
Sementara itu penduduk Kampung Bergosong Haris Jalaludin, 65, yang membantu mengagihkan air bersih berkata beliau kadangkala bekerja sehingga jam 1 pagi bagi menghantar air secara percuma kepada penduduk.
“Saya sukarela menggunakan lori sendiri untuk membantu kira-kira 120 keluarga di kampung ini.
“Setiap penghantaran membekalkan sekitar 40 liter air bersih bergantung kepada permintaan penduduk,” katanya.
Menurutnya kos operasi telaga tiub dan PWPP seperti diesel dan elektrik ditanggung bersama oleh penduduk melalui semangat gotong-royong tanpa mengenakan bayaran.
Beliau berkata sebelum adanya telaga tiub penduduk hanya bergantung kepada telaga sendiri dan air hujan ketika musim kemarau dengan ada yang mengalami kekurangan air sehingga enam bulan.
“Kami pam air dari telaga tiub ke dalam dua tangki di atas lori untuk diagihkan terutama kepada mereka yang tiada kenderaan. Ada juga penduduk yang datang mengambil sendiri menggunakan kenderaan atau kereta sorong,” katanya.
Tambahnya telaga tiub di PWPP Kampung Bergosong beroperasi 24 jam sepanjang musim kemarau dan beliau berterima kasih atas bantuan peralatan seperti sistem penapisan, hos dan tangki air yang disalurkan oleh Pejabat Parlimen Kalabakan.
Beliau turut menghargai sokongan Jabatan Air Tawau dari segi kepakaran teknikal dan pemantauan sistem telaga tiub.
“Namun kami berharap lebih banyak tangki simpanan dapat disediakan bagi meningkatkan kapasiti serta menambah baik rawatan air untuk kegunaan minuman dan memasak.
“Kami juga berharap perhatian berterusan daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri kerana krisis air akibat kemarau seperti ini berlaku setiap tiga hingga empat tahun dan memberi beban besar kepada keperluan asas termasuk persekolahan anak-anak,” katanya.
Menurut statistik Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pulau Sebatik dianggarkan mempunyai sekurang-kurangnya 28,000 penduduk melibatkan warga tempatan dan pekerja asing dengan 17 kampung termasuk Kampung Wallace Bay, Kampung Mentadak Baru, Kampung Sungai Tamang dan Kampung Bergosong.
