Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan sebarang kritikan terhadap penganjuran sambutan Aidilfitri secara mewah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar dirujuk terus kepada kementerian berkenaan untuk penjelasan lanjut.
Menurutnya, beliau tidak mengetahui mengenai penganjuran majlis tersebut dan tidak menerima jemputan.
“Saya tiada maklumat, dan perlu dirujuk kepada KKM sendiri,” katanya.
Fahmi juga memaklumkan, berdasarkan pengalamannya, artis yang diundang ke acara kementeriannya sebelum ini sama ada tidak mengenakan bayaran atau dibayar pada kadar rendah.
Kritikan terhadap majlis Aidilfitri KKM yang diadakan pada Selasa tercetus susulan kehadiran artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah. Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beberapa gambar yang memaparkan kemeriahan majlis turut dikongsikan.
Bagaimanapun, ruangan komen dihujani pelbagai reaksi netizen, antaranya mempersoalkan kewajaran penganjuran majlis berskala besar dalam keadaan warga kerja KKM masih berdepan kekangan fasiliti dan beban tugas harian.
Isu ini turut mendapat perhatian Lajnah Kesihatan PAS yang menyuarakan kebimbangan terhadap beban tugas warga kerja KKM serta kekangan fasiliti yang dihadapi.
Sumber: Sinar Harian
The post ‘Perlu rujuk pada KKM’ – Fahmi jawab isu majlis Aidilfitri secara ‘mewah’ appeared first on The Reporter.




