Perlu strategi lebih berkesan tangani banjir Penampang

LocalEnvironment
9 Sep 2025 • 3:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENAMPANG: Banjir yang kembali melanda beberapa kawasan di daerah ini Ahad lalu mesti ditangani dengan mengatur strategi dan perancangan lebih berkesan.

Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Moyog, Mckery Victor berkata, walaupun banjir adalah bencana alam semula jadi yang mustahil dihentikan, usaha untuk mengurangkan serta menghindarinya perlu dilakukan segera.

“Banjir kelmarin bukanlah yang paling besar melanda daerah ini, tetapi daripada penelitian kami, ia sebenarnya dapat dielak jika kawasan terjejas diselenggara dengan baik, khususnya sistem perparitan,” katanya.

Hujan lebat mula turun di Penampang seawal jam 4 petang Ahad dan berterusan sehingga tengah malam. Dalam masa beberapa jam, beberapa kampung dinaiki air, termasuk Kolopis, Kiranau Tomui, Babagon Tagaal, Penampang Proper, Tuavon dan kawasan tanah rendah lain.

Sehingga pagi Isnin, beberapa kawasan di Kampung Kolopis masih tidak dapat dilalui. Antara puncanya ialah sistem perparitan tidak berfungsi dan projek pembinaan jalan yang menyumbang kepada kejadian banjir setiap kali hujan.

Sekolah SM St Michael turut tutup sehari kerana ia dinaiki air dengan teruk, seperti diumumkan oleh pengetuanya.

Mckery berkata, sejak semalam beliau membuat pemeriksaan di beberapa kawasan dilanda banjir dan mendapati ramai penduduk berasa bimbang kemungkinan berlakunya banjir besar.

“Saya memahami kesulitan penduduk, termasuk mereka yang terkandas di jalan raya dan keluarga yang terkesan di kediaman masing-masing.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia berulang sama seperti kejadian banjir besar pada Jun tahun lepas.

“Sebagai pemimpin, saya ingin menegaskan komitmen untuk menyuarakan isu banjir berulang di Penampang ini ke peringkat lebih tinggi agar penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Menurutnya, projek tebatan banjir, penaiktarafan sistem perparitan dan pengurusan sungai perlu diberi perhatian serius.

Mckery turut meminta semua pihak agar terus berhati-hati terutama yang tinggal berdekatan dengan sungai, mengelak melalui kawasan banjir dan memastikan keselamatan diri serta keluarga.

Katanya, PKDM Moyog akan terus memantau keadaan semasa, bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.

Mengenai banjir yang sering berlaku, Mckery menegaskan beberapa langkah jangka sederhana dan panjang perlu diambil bagi memastikan masalah ini tidak berulang.

Katanya, tindakan jangka sederhana adalah mengaudit dan membersihkan sistem perparitan.

“Kami juga mahu menggerakkan gotong-royong komuniti bersama agensi berkaitan bagi membersihkan longkang dan parit utama. Kami mahu menyediakan laporan teknikal keadaan sistem perparitan di kampung-kampung terjejas.

“Untuk memastikan kerja ini berkesan, parti akan mengadakan penyelarasan bilik gerakan banjir dengan menubuhkan jawatankuasa komuniti bencana di setiap kampung,” katanya, menambah ia akan diselaraskan oleh Ketua Cawangan PKDM.

Menurut Mckery, penggunaan aplikasi WhatsApp dan media sosial akan digerakkan sebagai sistem amaran awal komuniti.

Bagi mangsa banjir, Mckery berkata pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak bagi menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang lebih lengkap dengan stok makanan asas, ubat-ubatan dan kemudahan sokongan golongan rentan yang mencukupi.

“Selain itu, kita juga akan menambah baik fasiliti dewan kampung atau surau sebagai PPS alternatif.

“Melalui langkah-langkah ini, kami mahu menunjukkan isu banjir bukan hanya ditangani ketika krisis berlaku, tetapi diperjuangkan secara serius sebagai agenda pembangunan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat Penampang,” katanya.