‘Perlu Tertib Gunakan Media Sosial, Jangan Gugat Keamanan’ - PM

30 Jul 2024 • 8:16 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Kenduri Madani di Tambun, Perak - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Warga maya perlu tertib ketika menggunakan media sosial dan tidak menimbulkan perkara yang boleh menyinggung sensitiviti sehingga menggugat keamananan.

Memberikan ingatan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan dirangka dirangka untuk mengatasi penyebaran jenayah dan maklumat berbahaya.

Menurut beliau, peraturan berkenaan membantu mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.

“Kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi perkongsian ci Facebook.

Jelas Perdana Menteri, itu adalah antara sebahagian perkara yang disentuh ketika berucap pada Majlis Kenduri MADANI di Taman Koperasi Perpaduan 2, Tambun, Perak semalam.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu perundangan baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch bagi meningkatkan tahap keselamatan digital secara terperinci dan jelas akan dibentangkan di Parlimen pada sidang seterusnya yang dijangka bermula Oktober nanti. 

Katanya, peraturan tersebut bakal meletakkan tanggungjawab, antara lain kepada penyedia perkhidmatan media sosial (social media platform providers) dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services providers) supaya mereka turut memainkan peranan dan bertanggungjawab ketika menangani jenayah dalam talian.

Tegas Azalina, ia merangkumi kes penipuan atas talian, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual, selaras dengan inisiatif perundangan yang dikuatkuasakan di pelbagai negara lain.

Kerajaan juga tambah beliau, sedang mengkaji cadangan meminda Kanun Keseksaan untuk mengklasifikasikan dan mendefinisikan kesalahan buli siber serta cadangan pindaan berbangkit terhadap Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif. - Getaran, 30 Julai 2024